PDC tidak beri tanah kepada swasta untuk taman perindustrian

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGE TOWN - Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) tidak pernah memberikan tanah kepada pihak swasta untuk dibangunkan sebagai taman perindustrian.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ia berikutan bank tanah perindustrian PDC terletak di lokasi yang strategik dan dapat dipasarkan kepada pelabur-pelabur kategori industri yang digalakkan (promoted industries).

Bagaimanapun kata beliau, PDC kini menghadapi kekangan untuk membangunkan kawasan perindustrian baharu yang dikenali sebagai Batu Kawan Industrial Park 2 (BKIP2) kerana faktor lokasi dan persekitaran yang tidak konduksif.

"Sehingga kini, PDC tidak pernah beri tanah kepada pihak swasta untuk dibangunkan sebagai taman perindustrian. Namun, PDC berhadapan dengan kekangan untuk membangunkan BKIP2 kerana faktor lokasi.

"Oleh itu, PDC berhasrat untuk berkolaborasi dengan syarikat swasta untuk membangunkan sebahagian daripada BKIP2 supaya mengurangkan risiko dan kos di pihak PDC," katanya.

Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Lim Guan Eng (DAP- Air Putih) berhubung tanah-tanah PDC yang diberikan kepada pihak swasta untuk dibangunkan semula sebagai tanah perindustrian untuk menarik pelaburan.

Tambah beliau, PDC telah berjaya membangunkan sembilan taman perindustrian di Pulau Pinang bagi memastikan ekosistem sektor perindustrian yang mampan mampu dicapai.

"Bagi merealisasikan matlamat ini, PDC akan terus memainkan peranannya sebagai peneraju pembangunan utama kawasan perindustrian di Pulau Pinang walau pun kini terdapat beberapa pemaju swasta yang turut terlibat dalam bidang ini.

Artikel Berkaitan:

"Berbekalkan pengalaman dan kemahiran selama lebih 50 tahun, PDC yakin bahawa kawasan perindustrian yang dibangunkan akan terus menjadi tumpuan pelabur asing dan tempatan," katanya.

Menjawab mengenai PDC akan tetap memainkan peranan utamanya membuka dan membangunkan tanah perindustrian sama ada dengan sendirinya atau secara usaha sama, Kon Yeow berkata, PDC akan membangunkan sendiri tanpa penglibatan pihak

swasta bagi kawasan-kawasan yang strategik.

"Cadangan kolaborasi dengan pihak swasta hanya bagi kawasan yang kurang strategik, berisiko tinggi dan kos yang tidak kompetitif," katanya.