Ibu, anak khatam al-Quran bersama

Mereka antara 50 mualaf peserta program Majlis Khatam Al-Quran 3.0 anjuran Sinar Harian, Sinar Islam Plus

MAJLIS Khatam Al-Quran 3.0 anjuran Sinar Harian dan Sinar Islam Plus bersama rakan sinergi Yayasan Warisan Ummah Ikhlas menampilkan 50 peserta mualaf daripada Perkim Bahagian Negeri Selangor.
MAJLIS Khatam Al-Quran 3.0 anjuran Sinar Harian dan Sinar Islam Plus bersama rakan sinergi Yayasan Warisan Ummah Ikhlas menampilkan 50 peserta mualaf daripada Perkim Bahagian Negeri Selangor.
A
A
A

IBU dan anak khatam al-Quran bersama-sama menjadi antara momen indah yang sempat dirakam pada Majlis Khatam Al-Quran 3.0 di Studio My #QuranTime, Shah Alam, Selangor pada Khamis.

Program dianjurkan oleh Sinar Harian dan Sinar Islam Plus bersama rakan sinergi Yayasan Warisan Ummah Ikhlas bersempena dengan Nuzul Al-Quran itu menampilkan 50 saudara baharu daripada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Bahagian Negeri Selangor.

KWAI LENG (barisan hadapan, kiri) bersama anaknya, Jia Yan (barisan hadapan, dua, kiri) menjadi pasangan anak-beranak yang khatam al-Quran bersama pada Majlis Khatam Al-Quran 3.0 di Studio My #QuranTime, Shah Alam pada Khamis.
KWAI LENG (barisan hadapan, kiri) bersama anaknya, Jia Yan (barisan hadapan, dua, kiri) menjadi pasangan anak-beranak yang khatam al-Quran bersama pada Majlis Khatam Al-Quran 3.0 di Studio My #QuranTime, Shah Alam pada Khamis.

Melihat keakraban Ang Kwai Leng, 51 dan anaknya, Chan Jia Yan, 17 membuatkan penulis tertarik untuk menemu bual mereka sejurus majlis selesai.

“Dia ini ‘ustazah’ saya,” seloroh Kwai Leng atau nama Islamnya, Nur Hidayah ketika Sinar Islam Plus mendekatinya.

Jelas beliau, dirinya melalui perjalanan yang panjang untuk betul-betul menguasai bacaan al-Quran dengan tajwid dan makhraj yang betul.

“Bayangkan, saya kena masuk kelas intensif tajwid sehingga tiga kali, barulah benar-benar faham. Kelas itu sebenarnya hanya empat bulan saja pada asalnya, tapi jadi setahun pula sebab faktor usia.

Artikel Berkaitan:

ANG KWAI LENG
ANG KWAI LENG

“Cuma alhamdulillah, saya tiada masalah untuk mengenal huruf hijaiyah. Dalam tempoh tiga bulan saya sudah mengenalinya. Sepanjang proses pembelajaran, boleh dikatakan, anak saya banyak membantu,” katanya yang kembali kepada agama suci Islam pada tahun 2017.

Al-Quran mengubah keperibadian

Juara pertandingan hafazan mualaf tahun 2021 anjuran Lembaga Zakat Selangor itu menjelaskan, al-Quran begitu dekat dalam sanubarinya.

“Bila saya cari kebenaran membaca kalam suci itu, saya rasakan banyak perkara yang boleh dilihat terutama dari segi kehidupan sebagai isteri, ibu dan anak.

“Alhamdulillah seminggu selepas saya memeluk Islam, arwah ibu saya turut mengikut jejak langkah saya kerana melihat perubahan baik pada saya. Semua ini hidayah daripada ALLAH,” katanya.

Rupanya, detik pengisalaman Kwai Leng dan anaknya, Jia Yan tidak sama.

Jika ibunya memeluk agama suci itu pada 2017, tetapi Jia Yan pula memilih untuk kembali kepada fitrah Islam pada 2022.

Meskipun demikian, ujar Jia Yan atau nama Islamnya, Aisyah, sepanjang tempoh berkenaan, beliau banyak mengikuti dan mempelajari di kelas fardu ain yang turut disertai oleh ibunya.

JIA YAN
JIA YAN

“Alhamdulillah, tahun lalu saya dapat rezeki masuk ke sekolah tahfiz. Walaupun tidak sampai setahun di sana disebabkan kekangan tertentu, banyak yang saya aplikasikan.

“Malah, saya dan ibu sentiasa bersama-sama membaca al-Quran selepas Maghrib. Saya betulkan bacaan ibu, begitu juga dengan ibu dan kami juga saling ‘menebuk’ bacaan ayat suci al-Quran untuk menguatkan hafalan,” katanya,

Kesungguhan, rajin ikuti majlis ilmu

Jia Yan yang baru sekali mengkhatamkan al-Quran selepas memeluk Islam berkongsikan tip pantas untuk menguasai kalam ALLAH itu.

“Apa pun yang dilakukan, kita kena rajin dan ada kesungguhan. Bukan sahaja rajin ke kelas, tetapi juga perlu dipraktikkan dan jangan lepaskan peluang untuk mengikuti majlis-majlis ilmu,” titipnya.

Bagi seorang lagi peserta, Muhammad Johnson Gantinius, 26, penyertaannya dalam Majlis Khatam Al-Quran 3.0 dianggap sebagai satu pencapaian yang membanggakan buat dirinya.

MUHAMMAD JOHNSON
MUHAMMAD JOHNSON

Acara seperti itu sebenarnya mengangkat martabat golongan mualaf, ungkapnya.

“Kami boleh ke depan sepertimana orang yang memang dilahirkan sebagai Islam. Tidaklah nanti ada orang berfikir, mualaf hanya masuk Islam dan setakat itu sahaja.

“Apabila ada program sebegitu, ia cukup memberi semangat untuk saya tidak gentar ke hadapan dan diharapkan boleh menjadi contoh kepada keluarga mahupun orang Islam yang lain,” katanya yang memeluk Islam pada tahun 2019 selepas mengkaji kandungan al-Quran.

Beliau juga pernah merangkul naib johan dalam pertandingan tilawah al-Quran mualaf bahagian Selangor pada tahun 2022.

Sementara itu, Pengurus Perkim Selangor, Ustaz Mohd Yusoff Ahmad berharap majlis seperti ini dapat menjadi pemangkin semangat kepada golongan mualaf terus mendalami ilmu al-Quran tanpa jemu dan lelah.

MOHD YUSOFF
MOHD YUSOFF

“Kami mengharapkan golongan saudara baharu dapat belajar bersungguh-sungguh dan mengkhatamkan al-Quran,” ungkapnya.

Pada acara itu, sebanyak 22 surah daripada juzuk 30 al-Quran dialunkan oleh semua peserta dengan bimbingan mualim yang juga Pensyarah Jabatan Syariah, Universiti Islam Selangor, Ustaz Mohd Rasyidi Ali.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin dan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli.

Usai berkhatam, peserta turut mendengar perkongsian ilmu daripada pendakwah, Ustaz Syafiq Raffiqin Liow bertajuk ‘Al-Quran, Kalamullah Panduan Insan’ sebelum dibawa untuk berbuka puasa iftar ala Madinah@Karangkraf.

FARAH (duduk, lima, kiri) dan Zamri (duduk, enam, kanan) bergambar kenangan bersama peserta dan tetamu yang memeriahkan Majlis Khatam Al-Quran 3.0 anjuran Sinar Harian dan Sinar Islam Plus bersama rakan sinergi Yayasan Warisan Ummah Ikhlas di Studio My #QuranTime pada Khamis.
FARAH (duduk, lima, kiri) dan Zamri (duduk, enam, kanan) bergambar kenangan bersama peserta dan tetamu yang memeriahkan Majlis Khatam Al-Quran 3.0 anjuran Sinar Harian dan Sinar Islam Plus bersama rakan sinergi Yayasan Warisan Ummah Ikhlas di Studio My #QuranTime pada Khamis.