Dua mayat ditemukan selepas jambatan di Baltimore runtuh

Kapal kontena melanggar Jambatan Francis Scott Key menyebabkan ia runtuh pada Selasa. Foto AFP
Kapal kontena melanggar Jambatan Francis Scott Key menyebabkan ia runtuh pada Selasa. Foto AFP
A
A
A

ANKARA - [DIKEMAS KINI] Jasad dua daripada enam pekerja pembinaan yang hilang daripada jambatan yang runtuh di Baltimore, Amerika Syarikat ditemukan, kata pihak berkuasa pada Rabu.

Superintenden Roland Butler Jr dari Polis Negeri Maryland berkata, penyelam menemukan kedua-dua mayat terperangkap di dalam trak pikap berwarna merah kira-kira 10 pagi pada kedalaman 7.62 meter sekitar kawasan tengah jambatan itu, lapor Agensi Anadolu.

Mangsa yang ditemukan dikenali sebagai Alejandro Hernandez Fuentes, 35, dari Baltimore dan Dorlian Ronial Castillo Cabrera, 26, dari Dundalk, Maryland.

Pada Rabu, pihak berkuasa menyambung semula pencarian enam pekerja pembinaan yang dipercayai telah meninggal dunia selepas sebuah kapal kontena melanggar Jambatan Francis Scott Key, menyebabkan ia runtuh pada Selasa.

Walaupun empat masih lagi hilang, Butler berkata, operasi sekarang beralih daripada menyelamat kepada membawa keluar mayat.

Pekerja berkenaan sedang berehat dan duduk di dalam trak mereka semasa kejadian, katanya.

Penyelam tidak lagi boleh bergerak atau melakukan operasi dengan selamat kerana terdapat reruntuhan konkrit dan puing.

"Kami percaya kenderaan itu telah bercantum dengan struktur dan konkrit yang kami lihat terjatuh dalam tragedi itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Klip video mengenai jambatan runtuh itu di media sosial menunjukkan kapal berkenaan kehilangan kuasa sekurang-kurangnya dua kali dan mengeluarkan asap hitam tebal. Kapal itu kemudian melanggar satu daripada tiang jambatan itu mengakibatkan jambatan itu runtuh beberapa saat selepas itu.

Pihak berkuasa berkata, kapal itu sempat membuat panggilan kecemasan, memberi kesempatan kepada penguat kuasa undang-undang untuk menghentikan lalu lintas di atas jambatan itu dan dapat menyelamatkan nyawa mereka yang mungkin menyeberangi jambatan itu jika tidak dihalang.

Jambatan Key merupakan satu daripada tiga laluan utama digunakan untuk ke Pelabuhan Baltimore dengan kira-kira 35,000 orang menggunakannya setiap hari.

Kesemua laluan kapal komersial dihentikan bagi memberi laluan untuk operasi mencari diteruskan. - Bernama/Anadolu

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28