Kerugian akibat jenayah komersial meningkat 89 peratus

Ramli
Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah kerugian akibat jenayah komersial mencatatkan jumlah RM770.5 juta sekali gus meningkat 89 peratus setakat minggu ke-12 tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dalam tempoh sehingga 24 Mac itu, sebanyak 7,348 kes direkodkan berbanding tempoh sama tahun lalu dengan 7,986 kes dengan kerugian RM407 juta.

"Biar pun berlaku pengurangan jumlah kes iaitu penurunan lapan peratus, tetapi jumlah kerugian sangat ketara dan cukup besar.

"Tahun ini (setakat 24 Mac) catat kerugian RM770.5 juta iaitu peningkatan 89 peratus berbanding RM407 juta dalam tempoh sama tahun lalu," katanya pada Khamis.

Beliau berkata, bagaimanapun, dari aspek pertuduhan, sejumlah 3,785 kertas siasatan telah berjaya dituduh di mahkamah tahun ini sehingga 24 Mac.

Jelasnya, jumlah itu adalah bersamaan 52 peratus daripada jumlah kertas siasatan yang dibuka pada tahun 2024.

"Peratusan pertuduhan ini juga lebih baik berbanding tempoh sama tahun 2023 yang mencatatkan sejumlah 3,463 pertuduhan atau bersamaan 43 peratus," ujarnya.

Mengulas lanjut, pecahan demografi tangkapan sepanjang 1 Januari hingga 3 Mac, seramai 4,131 individu telah ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah komersial iaitu terdiri daripada 71 peratus lelaki dan 29 peratus wanita.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan polis mendapati sebanyak 75 peratus berperanan sebagai keldai akaun, pekerja am (13 peratus), dalang (7 peratus), operator (3 peratus), penyelia (1 peratus) dan kewangan (1 peratus).

"Sebanyak 84 peratus suspek ini juga berpendidikan menengah, selebihnya pendidikan rendah (11 peratus), diploma (4 peratus) dan ijazah (1 peratus)," ujarnya.

Justeru, Ramli mengingatkan, seiring dengan kemajuan teknologi, amat penting untuk masyarakat mengambil maklum dan melaksanakan langkah-langkah perlindungan untuk mencegah penyalahgunaan teknologi oleh sindiket penipuan atau jenayah komersial.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!