Kes cerai di Terengganu meningkat 20 peratus

Maliaman
Maliaman
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kadar kes penceraian di Terengganu menunjukkan peningkatan daripada 1,656 kes direkodkan pada tahun lalu kepada 1,855 kes pada tahun ini.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Maliaman Kassim berkata, sebanyak 11,246 perkahwinan telah direkodkan pada 2022 dengan jumlah perceraian sebanyak 14 peratus (1,656 kes).

Jelas beliau, pada 2023 sebanyak 9,075 perkahwinan telah didaftarkan dengan kes perceraian meningkat hampir 20 peratus (1,855 kes).

"Saya rasa tercabar sebab saya pengerusi portfolio keluarga dan pembangunan wanita, jadi, kita melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) akan ambil berat tentang masalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab isu perceraian yang dibangkitkan oleh Ahmad Shah Muhamed (Pas-Bandar) dalam sesi penggulungan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, pada Rabu.

Maliaman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil berkata, alasan pasangan untuk bercerai pula berpunca daripada perkara yang agak remeh dan dilihat juga sebagai langkah untuk menyembunyikan masalah lebih besar.

Bagaimanapun, katanya, perceraian memberi kesan buruk terhadap emosi anak-anak sehingga ada yang mahu membunuh diri kerana tekanan yang dihadapi apabila ibu bapa berpisah.

“Ada yang mengatakan bercerai kerana masalah pegangan agama yang lemah, disebabkan gangguan dan pengaruh luar masuk ke dalam rumah tangga yang melibatkan suami isteri yang muda serta bebanan masalah ekonomi dan kewangan.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu pengaruh media sosial juga menunjukkan punca yang agak tinggi termasuk ada yang bercerai kerana berjumpa kekasih lama (melalui media sosial),” katanya.