Isytihar harta ahli Parlimen melalui LHDN

Azalina memberitahu pengisytiharan harta bagi anggota pentadbiran dan ahli Parlimen akan dikuatkuasakan menggunakan format baharu dalam masa terdekat.
Azalina memberitahu pengisytiharan harta bagi anggota pentadbiran dan ahli Parlimen akan dikuatkuasakan menggunakan format baharu dalam masa terdekat.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengisytiharan harta bagi anggota pentadbiran dan ahli Parlimen perlu dilakukan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi memastikan ia lebih lepat dan telus.

Penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Afifi Abdul Razak berkata, LHDN ada mekanisme untuk mengenal pasti harta dan punca pendapatan rakyat Malaysia.

"Kalau setakat isi borang atau isytihar harta atas kertas sudah pasti maklumat diberikan tidak secara terperinci, saya tidak faham kenapa kerajaan buat macam itu. Kalau dengan LHDN tiada yang boleh sorok.

"Kalau ikutkan kena buat melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga namun risau akan memberi tanggapan negatif terhadap mereka. Jadi boleh guna LHDN untuk isytihar harta sebab semua pembayar cukai melakukannya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Pada Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memberitahu pengisytiharan harta bagi anggota pentadbiran dan ahli Parlimen yang dicadangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) akan dikuatkuasakan menggunakan format baharu dalam masa terdekat.

Pada Julai tahun 2019, ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) 1.0, Dewan Rakyat telah meluluskan usul pengisytiharan harta yang menetapkan semua ahli Parlimen perlu mengisytiharkan harta mereka termasuk isteri atau suami, anak serta pemegang amanah dalam Akuan Berkanun.

Akuan Berkanun terbabit kemudiannya perlu dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh usul itu dipersetujui dan disalinkan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Senarai nama ahli Parlimen yang mengisytiharkan harta akan dipaparkan dalam portal SPRM dan hanya butiran pengisytiharan harta sahaja seperti jumlah pendapatan bulanan yang akan dipaparkan di portal berkenaan namun tidak dilakukan pada masa sekarang.

Artikel Berkaitan:

Antara ahli Parlimen yang ketika itu melakukan perkara tersebut adalah Datuk Ngeh Koo Ham, beliau mengisytiharkan aset bernilai RM75.81 juta, iaitu paling tinggi dalam kalangan wakil rakyat PH.

Ia diikuti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang mengisytiharkan aset bernilai RM32.35 juta, manakala bekas Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan isteri turut mengisytiharkan aset bernilai RM23 juta.

Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah mengisytiharkan aset bernilai RM15.3 juta bersama isteri dan anaknya.

Sementara itu, Penganalisis sosio politik Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, penambahbaikan format pengisytiharan harta bagi anggota pentadbiran dan ahli Parlimen menunjukkan komitmen Kerajaan Madani mengenai aspek tatakelola yang lebih baik bagi memastikan semua pemimpin negara mempunyai integriti tinggi dan telus

"Tindakan itu dapat meningkatkan keyakinan rakyat kepada anggota pentadbiran dan ahli parlimen bahawa mereka bersih.

"Bagaimanapun, timbul persoalan sejauh mana format baharu itu akan diterima oleh semua anggota pentadbiran dan ahli parlimen. Kerajaan sepatutnya memperjelaskan dengan lebih terperinci mengenai perkara tersebut agar lebih jelas," jelasnya.