Format baharu pengisytiharan harta perlu lebih komprehensif, mudah akses

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Format baharu pengisytiharan harta perlu mempunyai ciri komprehensif bagi membolehkan penggunaan garis panduan yang jelas dan mudah diakses supaya matlamat atau objektif ia dilaksanakan tercapai.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Norhayati Nordin berkata, antara aspek penting yang patut dititikberatkan ialah maklumat aset, tarikh akhir dan mengenakan penalti kepada mereka tidak mematuhi arahan.

"Format berkenaan sepatutnya berada pada tahap standard secara konsisten bagi memastikan ia mudah diakses oleh umum. Jika diisytihar tetapi sukar untuk diakses, maka ia tidak seiring dengan keseluruhan tujuan mempunyai format baharu atau pun deklarasi harta itu dibuat.

"Segala maklumat yang dimuat naik wajib seiring dengan rekod kewangan yang menjadi keutamaan dalam pengisytiharan aset tersebut bagi memastikan ketepatan dan kejujuran daripada pihak terlibat," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan pengisytiharan harta bagi anggota pentadbiran dan ahli Parlimen akan dikuatkuasakan menggunakan format baharu dalam masa terdekat.

Menurutnya, keputusan berkenaan dibuat setelah Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) bersetuju dengan cadangan penambahbaikan format pengisytiharan harta.

Bagaimanapun Azalina berkata, format pengisytiharan harta sedia ada hendaklah ditambah baik agar maklumat yang diberikan tepat dan telus sebelum pengisytiharan harta dilaksanakan semula.

Tambah beliau, mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Julai 2023 bersetuju supaya format pengisytiharan harta baharu yang lebih komprehensif disediakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai langkah penambahbaikan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Norhayati mencadangkan supaya pemantauan berkala dilakukan dalam mendepani sistem atau cabaran baharu supaya pengisytiharan harta dapat dilakukan dengan lancar, efektif dan kekal relevan.

"Melihat kepada keadaan ini, perkara yang paling penting adalah persepsi awam kerana ia merupakan amanah yang besar diserahkan kepada pihak terlibat. Mereka perlu adil dengan rakyat kerana kepercayaan telah diberikan.

"Sekiranya ia dilakukan dengan baik, maka ruang atau risiko rasuah dapat dikekang sehabis baik.

"Format baharu yang berkesan boleh menghalang pertuduhan paksa terhadap mana-mana ahli Parlimen kerana semuanya sudah didokumenkan serta boleh dilihat dengan jelas," tambah beliau.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28