Ifa Raziah hampir mengalah

Kesukaran menganjurkan festival jualan hari raya kali ini membuatkan Ifa hampir tawar hati.
Kesukaran menganjurkan festival jualan hari raya kali ini membuatkan Ifa hampir tawar hati.
A
A
A

PENYANYI dan usahawan terkenal, Datuk Saripah Raziah atau lebih dikenali sebagai Ifa Raziah mengakui hampir berputus asa untuk menjadi penganjur festival jualan hari raya buat kali ke-15 tahun ini.

Semua itu gara-gara kesukaran mendapatkan penaja selain beberapa halangan lain yang membuatnya mengalirkan air mata.

Jelas Ifa, beliau juga sudah berasa tawar hati untuk meneruskan festival Starvendors KLCC Mega Raya Fest 2024.

"Sejujurnya dari awal ada banyak isu yang berlaku termasuklah kesukaran mendapatkan penaja. Cuma baru-baru ini saya dapat tahu, bukan saya sahaja yang sukar dapatkan penaja tetapi banyak lagi pihak lain berdepan dengan perkara sama.

"Ada juga terfikir untuk jadikan edisi ke-15 ini sebagai penganjuran terakhir dan fokus bisnes lain," katanya ketika ditemui pada majlis Jom Berbuka Puasa bersama Artis Starvendors di Subang Jaya, pada Isnin.

Bukan itu sahaja, wanita berusia 48 tahun itu mendedahkan ada pihak cuba menjatuhkan perniagaan diusahakannya dengan bertindak menikam dari belakang.

Malah tidak kurang juga yang mahu memboikot festival berkenaan gara-gara kontroversi yang berlaku melibatkan Ruhainies dan Aliff Aziz, meskipun beliau tidak ada kena-mengena dengan insiden berkenaan.

"Pagi tadi (Isnin), saya terpaksa pecat dua pekerja saya. Ini sebab mereka menipu, apabila saya minta kejujuran, mereka jawab tiada. Walhal sebenarnya mereka bekerja dengan penganjuran acara lain.

Artikel Berkaitan:

"Mengenai Ruhainies, saya ingin maklumkan dia secara rasmi tidak bersama Starvendors tahun ini. Dia maklumkan ada komitmen lain, jadi saya fahamlah.

"Saya harap tak ada lagi yang merancang untuk boikot," pinta Ifa.

Ifa meluahkan rasa lega apabila KUSKOP bersetuju untuk menjadi rakan strategik.
Ifa meluahkan rasa lega apabila KUSKOP bersetuju untuk menjadi rakan strategik.

Dalam pada itu, Ifa menarik nafas lega apabila Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersetuju untuk menjadi rakan strategik.

Jelasnya,KUSKOP menawarkan subsidi mencecah RM500,000 buat vendornya yang menawarkan potongan harga.

“Alhamdulillah, rezeki saya hadir pada hujung-hujung, lagi empat hari acara nak bermula.

“Peniaga jangan risau kerana mereka boleh menawarkan potongan harga sewaktu Happy Hour sebanyak tiga kali dalam sehari, dari situ, kerajaan bantu bayar untuk kadar diskaun yang diberikan.

"Mereka juga bimbang dengan isu kuasa membeli ketika ini, jadi KUSKOP memberitahu mahu membantu peniaga agar mereka beri diskaun dan kos itu ditanggung," jelasnya.

Festival jualan kali ini bertempat di Hall 4 dan 5, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Ia bermula dari 29 Mac hingga 1 April 2024.

Acara ini akan membabitkan 300 reruai dan lebih 70 artis termasuk pempengaruh itu akan berlangsung selama 72 jam tanpa henti.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!