Hari indah buat badminton Malaysia

Aaron Chia-Wooi Yik, Pearly-Thinaah, Zii Jia tampil aksi fantastik di England

Aaron-Wooi Yik mara ke suku akhir. Foto Agensi
Aaron-Wooi Yik mara ke suku akhir. Foto Agensi
A
A
A

BARISAN pemain negara meneruskan persembahan luar biasa ketika tampil memburu slot suku akhir Kejuaraan Badminton Seluruh England 2024 Super 1000 di Utilita Arena Birmingham, England.

Beregu sensasi lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang juga pilihan kelima meneruskan kemaraan ke slot suku apabila menewaskan wakil Taiwan, Chang Ko-Chi-Po Li-Wei.

Aaron-Wooi Yik menewaskan gandingan nombor 39 dunia itu straight set 21-18, 24-22 dalam perlawanan berintensiti tinggi masa 46 minit.

Kemenangan itu sekali gus melebarkan rentak kemenangan selepas kali terakhir kedua-dua bertarung di Masters Malaysia 2022 yang menyaksikan Aaron-Wooi Yik menang 23-21, 21-16 di suku akhir.

Di suku akhir, Aaron-Wooi Yik bakal berdepan juara edisi 2022 wakil nombor sembilan dunia dari Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana yang mengejutkan beregu nombor satu dunia Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, 21-16, 21-15 dalam masa 41 minit.

Terdahulu, beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah yang berstatus 15 dunia menyingkirkan cabaran pilihan pertama dunia, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China, 22-20, 21-16 dalam aksi 49 minit.

Kemenangan mengejutkan itu membolehkan Pearly-Thinaah berdepan beregu Jepun, Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto yang bangkit tewas set pertama 14-21 menewaskan Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silvia Ramadhanti, dua set berikutnya 21-10, 21-16.

Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia juga melangkah ke suku akhir selepas menyingkirkan juara dunia 2021 dari Singapura, Loh Kean Yew nombor 11 dunia straight set 21-15, 21-12 dalam aksi 33 minit.

Artikel Berkaitan:

Zii Jia yang berstatus nombor 10 dunia akan membuat perhitungan menentang wakil India, Lakshya Sen yang menyingkirkan bintang Denmark, Anders Antonsen, 24-22, 11-21, 21-14 dalam aksi 80 minit.

Sebagai rekod, edisi 2023 menyaksikan cabaran jejaka kelahiran Alor Setar itu berakhir di separuh akhir selepas tewas kepada pemain China, Shi Yuqi, 19-21, 13-21.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28