Anwar jumpa ketua cabang selepas hari raya selesai kemelut PKR Sabah

Awang Husaini
Awang Husaini
A
A
A

KOTA KINABALU - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan sesi konsultasi dengan semua ketua cabang di Sabah selepas hari raya nanti untuk mencari formula terbaik mengatasi pergolakan yang berlaku di negeri ini.

Naib Presiden PKR, Awang Husaini Sahari berkata, pergolakan membabitkan kepimpinan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah telah pun dilaporkan dalam mesyuarat Biro Politik Pusat (Biropol) pada 24 Mac lalu.

"Biropol tidak ada membuat sebarang tindakan dan kedudukan Datuk Sangkar Rasam selaku Pengerusi MPN Sabah adalah kekal.

"Dari segi Perlembagaan, pelantikan Pengerusi MPN negeri adalah kuasa prerogatif presiden parti setelah berbincang dengan semua ketua cabang. Penolakan ketua-ketua cabang terhadap pelantikan ini sama ada melalui akuan bersumpah (SD) ataupun meja mesyuarat MPN tidak mampu untuk menggugat kesahihan pengerusi yang telah dilantik oleh presiden.

"Dengan kata lain, tanpa tindakan terbaharu daripada presiden parti, kedudukan Datuk Sangkar selaku Pengerusi MPN tidak terjejas dengan segala bentuk gerakan yang beliau hadapi," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum itu, pergolakan kepimpinan MPN Sabah tercetus apabila seramai 15 ketua cabang mendakwa telah menandatangani SD hilang kepercayaan terhadap Sangkar sebagai Pengerusi MPN.

Sangkar bagaimanapun menegaskan tidak akan meletakkan jawatan dan akan meneruskan tugas selaku Pengerusi MPN yang telah diamanahkan oleh presiden parti.

Bagaimanapun, Awang Husaini berkata, jika angka 15 SD oleh ketua-ketua cabang berkenaan adalah sahih dan konsisten, ia merupakan satu elemen yang tidak baik bagi Sangkar untuk terus memimpin PKR negeri.

Artikel Berkaitan:

"Angka 15 ini merupakan lebih separuh daripada 26 jumlah ketua-ketua cabang di Sabah.

"Tanpa kepimpinan perintah dan kawal beliau tentunya sukar untuk membuat keputusan secara konsensus, apatah lagi untuk memberi arahan kepada akar umbi hala tuju organisasi politik besar yang beliau pimpin," katanya.

Tambah beliau, Sabah akan menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) pada bila-bila masa sebelum September 2025, justeru organisasi MPN perlu diperkasa ke tahap optimum.

Jelasnya lagi, PRN Sabah ini adalah yang pertama sejak Pakatan Harapan (PH) pimpinan Anwar mengambil alih kerajaan Persekutuan pada November 2022 lalu.

"Menang PRN Sabah ini sama ada PH bertanding bersendirian ataupun bekerjasama dengan parti lain bukan saja matlamat utama, tetapi kemenangan ini adalah satu 'moral obligation' kepada kedudukan kerajaan Persekutuan pimpinan Anwar.

"Saya yakin presiden parti akan meneliti pergolakan ini dari setiap sudut. Faktor kepentingan parti dan persediaan PKR Sabah dalam menghadapi PRN negeri tentunya akan menjadi perkiraan utama.

"Tambahan lagi, PKR selaku parti yang menerajui PH Sabah akan memainkan peranan yang amat penting untuk memastikan PH kekal relevan dalam arus politik Sabah dan negara," katanya.

Sehubungan itu, Awang Husaini menyeru kepada semua ketua cabang dan ahli PKR Sabah agar bersabar dan mengelakkan penglibatan media secara terbuka bagi memberikan ruang yang secukupnya kepada presiden untuk mencari formula terbaik menyelesaikan pergolakan kepimpinan MPN Sabah.

"Apapun keputusan presiden, ahli PKR perlu terbuka dan berjiwa besar untuk bersatu segera demi kepentingan parti. PRN Sabah yang ke-17 bakal menjelang dan kita tidak mampu untuk berpecah-belah," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28