Akta Syarikat (Pindaan) 2024 mula dikuatkuasa 1 April

Armizan ketika sidang akhbar di Menara SSM di sini pada Rabu.
Armizan ketika sidang akhbar di Menara SSM di sini pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Akta Syarikat (Pindaan) 2024 yang antaranya mewajibkan pelaporan pemunyaan benefisial akan mula diperkenalkan berkuat kuasa pada 1 April ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, bagaimanapun pelaksanaan bagi Seksyen 4,14, 26 dan 28 yang terkandung dalam perundangan baharu itu akan dikecualikan sehingga ke tarikh yang akan diumum nanti.

Menurutnya, peruntukan perundangan baharu ini merupakan usaha Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bersama kementeriannya untuk menambah baik peruntukan-peruntukan di bawah Akta Syarikat 2016.

"Akta Syarikat (Pindaan) 2024 mempunyai dua objektif utama iaitu memperkukuhkan kerangka rehabilitasi korporat dengan memudahcara syarikat yang menghadapi masalah kewangan, menyokong pemulihan ekonomi negara agar terus berdaya saing terutama dalam era pasca pandemik Covid-19.

"Kedua, mempertingkatkan elemen ketelusan dalam ekosistem sektor korporat di Malaysia melalui penambahbaikan pelaporan pemunyaan benefisial.

“Akta ini juga mengandungi 31 fasal terdiri daripada empat kluster polisi," katanya selepas melancarkan pusat panggilan SSM berwajah baharu dikenali sebagai SSM Customer Care di Menara SSM, di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, penambahbaikan kerangka pelaporan pemunyaan benefisial itumengambil kira perkembangan terkini di peringkat antarabangsa dalam memerangi aktiviti pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan, rasuah dan elak membayar cukai.

Ujarnya, melalui peruntukan perundangan baharu tersebut mewajibkan setiqp syarikat mengenal pasti pemunya benefisial iaitu individu yang mengawal syarikat tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Syarikat berkewajipan melaporkan individu yang mempunyai kriteria pemunya benefisial ini kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)," katanya.

Tambahnya, pindaan itu juga antara lain bagi membolehkan Malaysia dinilai sejauh mana mematuhi standard antarabangsa melibatkan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) khususnya melibqtkan jenayah rentas sempadan.

Ujarnya, pengukuhan ini juga penting bagi membantu agensi penguatkuasaan dan kawal selia seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kita harap melalui pindaan yang diuluskan ini akan membantu negara melepasi penilaian yang dibuat FATF DAN OECD dan ini juga merupakan salah satu agenda reformasi yang digerakkan kerajaan," katanya.