Bas pelancong Thailand: Kelantan jumpa Menteri Pengangkutan 4 April ini

Kamaruddin (dua, kiri) mengiringi Nasuruddin (lima, kanan) bertemu pengamal media sempena Majlis Iftar Mahabbah Urusetia Penerangan UPKN dan Media Bersama PMBI.
Kamaruddin (dua, kiri) mengiringi Nasuruddin (lima, kanan) bertemu pengamal media sempena Majlis Iftar Mahabbah Urusetia Penerangan UPKN dan Media Bersama PMBI.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan negeri Kelantan sudah memohon kelonggaran permit bas pelancong dari Thailand dengan Kementerian Pengangkutan untuk kemasukan kenderaan itu ke negeri ini sempena Tahun Melawat Kelantan 2024.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Kamaruddin Md Nor berkata, satu pertemuan bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sudah ditetapkan pada 4 April depan bagi membincangkan perkara itu.

Menurut beliau, pertemuan itu turut membincangkan syarat-syarat lain selain mengambil kira kepentingan pengusaha bas di Kelantan.

"Peraturan tidak membenarkan kemasukan bas pelancong dari Thailand menghalang kita menerima lebih ramai pelancong dari negara itu datang ke sini.

"Pengusaha bas kita pula tiada dana untuk membesarkan industri pengangkutan sekali gus akan menjadi kekangan kepada kedatangan pelancong Thailand dan industri pelancongan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Majlis Iftar Mahabbah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan (UPKN) dan Media Bersama Kepimpinan Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) pada Selasa.

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud; Exco Pembangunan Islam, Dakwah Penerangan dan Hubungan Seranta, Mohd Asri Mat Daud dan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekita, Hilmi Abdullah.

Kamaruddin juga tidak menafikan kemungkinan pengusaha bas yang ada terjejas namun pada masa sama banyak industri yang dapat dibantu termasuk pengusaha makanan dan industri perhotelan.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, pertemuan bersama Anthony juga akan membincangkan mengenai pemanjangan landasan kapal terbang di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra bagi membolehkan pendaratan pesawat lebih besar.

"Kita berharap pemanjangan sejauh 400 meter yang diperlukan membolehkan kapal terbang Airbus dan Boeing dapat mendarat di sini," katanya.

Jelasnya lagi, tiada masalah untuk membesarkan landasan itu kerana lapangan terbang berkenaan mempunyai tanah sendiri namun perlu mencari dana untuk tujuan berkenaan.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut menyasarkan pelancong dari Singapura, Eropah, Amerika Syarikat dan United Kingdom memeriahkan Tahun Melawat Kelantan 2024.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28