Imigresen Johor tidak campuri pendirian KPISM

Baharuddin (tengah) pada sidang akhbar di bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika di sini, pada Rabu.
Baharuddin (tengah) pada sidang akhbar di bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika di sini, pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) mempunyai hak mengeluarkan kenyataan menjaga kebajikan ahli mereka.

Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir berkata, perkara itu merupakan hal ehwal kesatuan berkenaan dan beliau tidak mencampuri sebarang isu yang ditimbulkan.

"Itu adalah prerogatif kesatuan. Maknanya saya tidak bersama mereka. Kita tak campur.

"Saya tidak boleh komen lanjut dan kena tanya persatuan," katanya dalam sidang media di bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika di sini pada Rabu.

Pada Rabu, beberapa media melaporkan kenyataan KPISM seolah-olah kurang senang dengan tindakan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang kerap mengadakan lawatan ke pintu masuk utama negara di Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

Presiden KPISM, Ajeet Singh Gurbax Singh dilaporkan memuji usaha Onn Hafiz yang sering turun padang dan melawat BSI dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, namun turut menyatakan kritikan persatuan berkenaan.

"Meskipun Johor terdapat pelbagai isu rakyat yang perlu diselesaikan oleh Menteri Besar seperti rumah rakyat Johor, kesesakan lalu lintas di bandaraya Johor Bahru, kekurangan barangan subsidi seperti minyak paket dan beras tempatan, bekalan air yang sentiasa terputus di daerah-daerah, isu perparitan di kawasan pedalaman, kawasan rendah yang mudah banjir serta pelbagai lagi isu rakyat yang menyentuh golongan B40.

"Saya yakin banyak lagi kawasan kampung yang belum sempat Menteri Besar Johor turun padang dan lawat serta menjiwai kesusahan mereka, namun kesesakan lalulintas di BSI dan KSAB tetap diberikan keutamaan," katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

Artikel Berkaitan: