RM2.8 juta atasi banjir kilat tiga kawasan di Johor Bahru

Akmal Nasrullah ( kanan) meninjau keadaan pam air di Kampung Mohd Amin.
Akmal Nasrullah ( kanan) meninjau keadaan pam air di Kampung Mohd Amin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tindakan segera melibatkan pembinaan kolam takungan dan pintu air serta meninggikan benteng akan dilakukan di tiga kawasan perumahan di bandar raya ini yang teruk terjejas banjir pada minggu lalu.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata projek berkenaan dijangka bermula awal tahun depan menerusi peruntukkan sebanyak RM2.8 juta disalurkan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan.

"Tiga kawasan terlibat ialah Taman Sri Tebrau, Taman Majidee dan Kampung Mohd Amin. Kerja meninggikan benteng akan dilakukan di Kampung Mohd Amin manakala di Taman Majidee pula, kolam takungan akan dibina di situ.

"Sementara di Taman Sri Tebrau melibatkan pintu air bertujuan menghalang air laut mengalir ke sungai ketika air pasang berlaku yang seterusnya mengurangkan risiko banjir," katanya ketika melakukan lawatan ke rumah pam Kampung Mohd Amin.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat berkata hujan lebat luar biasa antara faktor menyebabkan banjir kilat berlaku Kampung Mohd Amin pada minggu lalu.

SUHAIZAN
SUHAIZAN

"Kawasan Kampung Mohd Amin yang terletak di tengah bandar raya ini, tidak dapat menampung aliran air yang begitu tinggi sekaligus berlaku limpahan air di sungai berhampiran.

"Tindakan meninggikan benteng dapat mengurangkan risiko banjir kilat berlaku sekaligus memberikan kelegaan kepada kira-kira 200 penduduk di sini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 7 Disember lalu, penduduk menyifatkan banjir kilat yang melanda di Kampung Mohd Amin dianggap paling buruk dalam tempoh 60 tahun lalu kerana air naik sehingga dua meter susulan hujan lebat dan air pasang besar.

Berdasarkan laporan Pejabat Daerah Johor Bahru, sebanyak 38 lokasi di sekitar bandar raya ini dilanda banjir kilat susulan hujan lebat pada Rabu, minggu lalu.

Rumah pam di Kampung Mohd Amin.
Rumah pam di Kampung Mohd Amin.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata banjir kilat berlaku di sekitar bandar raya ini pada berpunca daripada taburan hujan yang sangat lebat, luar biasa serta pertembungan air pasang penuh.

Sebelum itu, tular beberapa keping gambar dan video di media sosial memaparkan banjir kilat berlaku di sekitar bandar raya ini.

Hujan lebat yang berterusan selama dua jam bermula 12 tengah hari itu mengakibatkan beberapa kawasan perumahan serta jalan-jalan utama dinaiki air.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!