18,000 pelajar Sabah di perantauan terima subsidi tiket penerbangan

Kira-kira 18,000 pelajar Sabah akan mendapat manfaat susulan pemberian subsidi tiket penerbangan yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor. Gambar hiasan 123rf/
Kira-kira 18,000 pelajar Sabah akan mendapat manfaat susulan pemberian subsidi tiket penerbangan yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor. Gambar hiasan 123rf/
A
A
A
KOTA KINABALU - Kira-kira 18,000 pelajar Sabah akan mendapat manfaat susulan pemberian subsidi tiket penerbangan yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada Isnin.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, jumlah keseluruhan subsidi sebanyak RM10 juta yang diumumkan itu sudah tentu akan membantu pelajar Sabah yang berada di perantauan.

"Saya menyambut baik pengumuman Ketua Menteri Sabah berkaitan subsidi tiket penerbangan yang berjumlah RM10 juta untuk semua pelajar Sabah yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) di Semenanjung, Sarawak dan Labuan

"Pemberian subsidi ini akan membantu pelajar pulang ke kampung halaman untuk bertemu keluarga tersayang menjelang Aidilfitri," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, pengumuman penting itu membuktikan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus di bawah kepimpinan Hajiji serius dalam membantu dan meningkatkan pendidikan anak-anak Sabah.

"Kerajaan Sabah juga memperuntukkan sebanyak RM67.4 juta untuk Kumpulan Yayasan Sabah pada tahun ini bagi membantu anak-anak Sabah melanjutkan pelajaran di dalam atau luar negara di mana jumlah peruntukan ini meningkat sebanyak RM13.6 berbanding peruntukan tahun lepas.

"Hasrat Kerajaan Sabah selaras dengan pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya ialah untuk memperkukuhkan pembangunan modal insan dan meningkatkan tahap pendidikan di Sabah," katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan menyeru semua syarikat penerbangan untuk tidak mengambil kesempatan mengenai kos penerbangan untuk anak-anak perantau Sabah yang pulang berhari raya.

"Kepada syarikat penerbangan yang beroperasi, saya minta janganlah terlalu mahal harga tiket penerbangan. Janganlah sampai caj harga membuatkan anak-anak kita di perantauan menitiskan air mata kerana terlalu mahal hingga tidak dapat dibeli dan akhirnya tidak dapat pulang beraya.
Artikel Berkaitan:


"Wajar untuk syarikat penerbangan mempunyai sedikit nilai ihsan dan empati kepada keadaan semasa, walaupun berniaga dan mencari pendapatan namun, dalam sesetengah keadaan, perlu juga ada pertimbangan logik moral.

"Semoga menjelang hari raya nanti, tidak ada kejadian anak-anak perantau yang tertinggal kapal terbang kerana jadual penerbangan diubah tanpa notifikasi awal, harga tiket dicas terlalu ektrem dan lain-lain masalah lagi," katanya.