Bantuan tiket penerbangan disalur ke akaun pelajar dalam masa terdekat

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

GEORGE TOWN - Bantuan sekali bayar RM600 bagi pembelian tiket penerbangan kepada pelajar dari Sabah akan disalurkan terus ke dalam akaun bank pelajar dalam masa terdekat, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata, ia berikutan kerajaan negeri mempunyai data semua pelajar yang layak mendapat bantuan berkenaan.

Hajiji juga berharap inisiatif yang melibatkan peruntukan RM10 juta itu dapat meringankan beban pelajar yang kurang berkemampuan untuk membeli tiket penerbangan khususnya ketika kecemasan dan perayaan.

"Memandangkan harga tiket yang agak mahal dan bagi sesetengah pelajar yang tidak berkemampuan ia satu beban, kerajaan negeri akan membantu mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa Mahasiswi Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Semenanjung Malaysia di Pusat Konvensyen Setia SPICE, Bayan Lepas di sini malam ini, yang turut dihadiri kira-kira1,400 pelajar Sabah yang menuntut di IPT di Semenanjung.

Terdahulu, Hajiji mengumumkan kerajaan Sabah akan memberikan subsidi sekali bayar RM600 bagi pembelian tiket penerbangan kepada pelajar dari Sabah yang belajar di IPT di Semenanjung, Sarawak dan Labuan.

Sementara itu, Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah memaklumkan Kumpulan Yayasan Sabah memperuntukkan RM67.4 juta tahun ini bagi membolehkan lebih ramai anak negeri itu melanjutkan pengajian di dalam dan luar negara.

Beliau berkata, jumlah peruntukan itu meningkat berbanding RM53.8 juta pada tahun lepas sekali gus membuktikan usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan taraf kualiti kehidupan dan pendidikan rakyat Sabah.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri juga menambah dana Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah daripada RM50 juta kepada RM100 juta bagi meringankan beban mahasiswa dan mahasiswi yang melanjutkan pengajian ke IPT,” katanya.

Menurutnya, pelbagai inisiatif bantuan turut diperkasa termasuk untuk anak-anak dalam kalangan keluarga B40 yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPT seperti Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) dan Bantuan Tunai Khas Peperiksaan (BAKTI).

Beliau berkata, sejumlah 124,141 pelajar Sabah yang mengikuti pelbagai disiplin ilmu telah mendapat bantuan dengan perbelanjaan sebanyak RM952.2 juta melalui Kumpulan Yayasan Sabah sejak 1967 merangkumi pemberian biasiswa, dermasiswa dan pinjaman pengajian tinggi. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28