Pas Kedah dedah kepincangan KAHB, rujuk LKAN 2017

Laporan Sinar Harian pada Ahad. Gambar kiri: Salim
Laporan Sinar Harian pada Ahad. Gambar kiri: Salim
A
A
A

ALOR SETAR - Pas Kedah mendakwa UMNO Kedah cuba menyeleweng fakta sebenar berkaitan Kedah Agro Holdings Berhad (KAHB) apabila mengaitkan syarikat ‘bermasalah’ itu dengan kepimpinan bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abd Razak.

Ketua Penerangan Pas Kedah, Salim Mahmood berkata, dakwaan Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin bahawa KAHB mengalami kerugian ketika di bawah pentadbiran Azizan adalah tidak tepat menyebabkan beliau tampil mendedahkan kepincangan yang berlaku.

Menurutnya, pendedahan tersebut dibuat dengan merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara tahun 2017 (LKAN 2017) bagi pengurusan aktiviti jabatan/agensi dan pengurusan syarikat kerajaan negeri Kedah siri kedua.

“Shaiful Hazizy dakwa KAHB mengalami kerugian bawah era Azizan mentadbir negeri. Saya percaya beliau tidak pernah meneliti LKAN 2017, saya sedia dedahkan apa berlaku ketika itu untuk elak kebenaran diseleweng,” katanya di sini pada Selasa.

Salim memaklumkan, KAHB ditubuhkan pada 24 Ogos 2008 di bawah punca kuasa Akta Syarikat 1967 dan menjadi syarikat berhad menurut syer milikan penuh Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah.

“Tahun tersebut merupakan tahun pertama Pas mentadbir kerajaan negeri bawah pemerintahan Azizan,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada itu mengingatkan Shaiful Hazizy bahawa LKAN 2017 memberi teguran terhadap kelemahan pengurusan dan pentadbiran perjalanan kewangan dan urus tadbir KAHB.

“Teguran berkenaan merujuk kepada kerugian sebelum cukai untuk dua tahun berturut-turut pada tahun 2015 dan 2016 berjumlah RM0.56 juta dan RM0.67 juta. Mengapa KAHB mengalami kerugian pada masa itu?

Artikel Berkaitan:

“Ini kerana pembaziran perbelanjaan yang bermewah pada tahun 2016 dengan ganjaran, elaun bulanan Lembaga Pengarah dan sagu hati Hari Raya Lembaga Pengarah berjumlah RM240,000,” jelasnya.

Menurutnya lagi, projek ternakan ikan sangkar di Sungai Menghulu, Langkawi melibatkan 187 sangkar mulai tahun 2016 juga tidak memberikan pulangan hasil kepada syarikat itu.

“Secara jelas, LKAN 2017 menyatakan, berdasarkan Minit Mesyuarat Lembaga Pengarah Kedah Agro Holdings Bil 4/2017, kali terakhir anak ikan kerapu hibrid dibawa masuk pada 27 Oktober 2017 sebanyak 5,000 ekor. Lawatan audit pada 18 Julai 2018 mendapati tiada ikan di dalam sangkar.

“Apa yang berlaku? Projek menternak ikan tetapi ikan tiada dalam sangkar!” soalnya.

Salim berkata, perkara ketiga yang dibangkitkan, projek Beras Agro melalui perjanjian Contract Manufacturing dan Supply Agreement pada 2 Mac 2016 tidak melalui proses pemantauan projek yang teliti selain perjanjian tidak lengkap dengan syarikat pembekal.

“Keempat, projek usaha sama rangkaian peruncitan D'Aman Mart yang mula beroperasi pada 29 Ogos 2017 tidak memberi hasil kepada KAHB selain dilakukan dalam keadaan sambil lewa.

“Kelima, projek ternakan Lembu Fidlot di Sungai Laka, Bukit Kayu Hitam dengan sewaan ladang RM9,820 secara bulanan bermula 1 September 2017 juga tidak memberikan hasil kepada KAHB.

“Lawatan audit pada 19 Julai 2018 mendapati kandang lembu masih kosong kerana jalan masuk ke kandang tidak boleh dilalui kenderaan berat. Bela lembu tapi lembu pun tak ada,” katanya lagi.

Menurutnya, kesemua yang dinyatakan itu adalah laporan dari LKAN 2017 dan ia menjadi punca KAHB berada dalam situasi ‘terperangkap’ sehingga hari ini.

“Persoalannya, siapa yang tadbir kerajaan negeri ketika itu kalau bukan parti yang dianggotai Shaiful Hazizy sendiri.

“Saya nasihatkan beliau, berehatlah dan fokus kepada ibadah dalam bulan Ramadan ini yang masih berbaki. Itu lebih baik daripada bercakap perkara tidak berfaedah,” ujarnya.

Salim tegaskan, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengambil pendekatan tidak 'scrape-off' hasil pentadbiran terdahulu kerana mengambil kira pelbagai faktor, namun malangnya UMNO lebih berminat membuka pekung sendiri sehingga terdedah punca kepincangan dalam pengurusan KAHB sejak 2016.

Pada Ahad, Shaiful Hazizy mendakwa KAHB mula mencatatkan kerugian selepas pentadbiran negeri bertukar kepada Pas pada 2008.

Menurutnya, sebelum itu, syarikat berkenaan berjaya meraih keuntungan ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN) dan mencatat keuntungan antara 2005 hingga 2008 semasa era Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid memimpin negeri.

KAHB menjadi perhatian setelah tular di media sosial surat bertarikh 12 Februari 2024, yang dihantar kepada Biro Pengaduan Awam Negeri Kedah berhubung tunggakan gaji kakitangan KAHB yang didakwa tidak dibayar sehingga sembilan bulan.