Awasi anak main mercun elak kebakaran

Awang Hidzel (dua dari kiri) melancarkan kempen pemeriksaan bangunan bagi tujuan menghapuskan bahaya kebakaran dan kempen keselamatan kebakaran sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri Peringkat JBPM Kedah di sebuah pasar raya di Stargate, pada Selasa.
Awang Hidzel (dua dari kiri) melancarkan kempen pemeriksaan bangunan bagi tujuan menghapuskan bahaya kebakaran dan kempen keselamatan kebakaran sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri Peringkat JBPM Kedah di sebuah pasar raya di Stargate, pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mengingatkan ibu bapa agar mengawasi anak-anak mereka ketika bermain mercun sepanjang musim perayaan bagi mengelakkan berlakunya kebakaran terutamanya ketika cuaca panas.

Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Awang Hidzel Awang Bujang berkata, beliau bimbang keadaan cuaca panas di Kedah ketika ini boleh mencetuskan kebakaran sekiranya tiada pengawasan.

Beliau berkata, pihaknya juga bimbang dengan keselamatan mereka yang dibiarkan bermain bahan tersebut.

"Dalam musim perayaan ini, pastikan anak-anak kita (bermain mercun) dalam keadaan terkawal.

"Ia dikhuatiri boleh menyebabkan kebakaran sekiranya (mercun) ditembak (ke arah) tempat yang kering," katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas pelancaran pemeriksaan bangunan bagi tujuan menghapuskan bahaya kebakaran dan kempen keselamatan kebakaran sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri Peringkat JBPM Kedah di sebuah pasar raya di Stargate, di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Pengarah JBPM Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Syufaat Kamaron.

Sementara itu, Awang Hidzel memberitahu, JBPM Kedah telah merekodkan sebanyak 8,501 jumlah panggilan kes kecemasan pada tahun lepas berbanding sebanyak 8,471 jumlah panggilan kes kecemasan pada 2022.

Artikel Berkaitan:

"Daripada jumlah itu, 2,649 kes kebakaran, 5,657 kes penyelamatan serta 195 kes tugas-tugas khas," katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, JBPM Kedah melakukan pemeriksaan keselamatan kebakaran di bangunan yang dikunjungi orang awam menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"Kita akan melawati premis untuk membuat penelitian ataupun semakan demi memastikan peralatan keselamatan kebakaran berjalan dengan baik," katanya.

Awang Hidzel turut berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan bagi tujuan menghapus bahaya kebakaran (MBK) ke atas 355 premis pada 2021.

"Pada 2022, pemeriksaan dilakukan ke atas 450 premis,manakala 460 premis pula pada tahun lepas.

"Bagi 2024, kita mensasarkan pemeriksaan bagi tujuan sama ke atas 500 premis," katanya.

Tambah Awang Hidzel, setakat ini, sebanyak 205 premis mendapat Sijil Perakuan Bomba pada 2021, diikuti 201 premis pula pada 2022 dan 214 premis pada 2023.

"Jadi, kita sasarkan 300 premis mendapat Sijil Perakuan Bomba pada tahun ini," katanya.