JBPN Sarawak tunggu penilaian Covid-19 KKM sebelum kemuka SOP musim perayaan

Amar Douglas Uggah Embas (kanan) dan Armizan (dua dari kanan) menyantuni anggota APM Sarawak selepas menyempurnakan penyerahan kenderaan APM Sarawak hari ini. - Foto: Bernama
Amar Douglas Uggah Embas (kanan) dan Armizan (dua dari kanan) menyantuni anggota APM Sarawak selepas menyempurnakan penyerahan kenderaan APM Sarawak hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUCHING - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Sarawak akan menunggu kata putus serta penilaian situasi Covid-19 daripada Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum mengeluarkan sebarang prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani wabak itu ketika musim perayaan dan aktiviti hujung tahun, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas UggahEmbas.

Beliau yang juga pengerusi JBPN turut menasihati rakyat Sarawak untuk mengambil langkah berjaga-jaga susulan kes Covid-19 dilaporkan meningkat sejak kebelakangan ini.

"Memang ada menunjukkan (peningkatan) kes Covid-19, jadi selepas ini kita tunggu keputusan daripada KKM dan sebarang laporan Covid-19 di negeri ini kita laporkan kepada KKM,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kenderaan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarawak 2023 pada Jumaat.

Sementara itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pasukan APM bersiap siaga sekiranya KKM memerlukan bantuan angkatan berkenaan dalam menangani peningkatan kes Covid-19.

"Kita difahamkan KKM setakat ini ada keupayaan sendiri untuk pemantauan dan tindakan yang berkaitan dengan Covid-19. Kita sedang berjaga-jaga, seandainya KKM memerlukan bantuan APM sebagaimana semasa negara dilanda wabak sebelum ini,” katanya.

Pada Khamis, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, keadaan semasa Covid-19 di Malaysia secara keseluruhannya masih terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada meskipun terdapat peningkatan kes.

Pada Ahad lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan memaklumkan sebanyak 3,626 kes Covid-19 dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-47 (ME 47/2023) iaitu dari 19 hingga 25 Nov lepas, meningkat 57.3 peratus berbanding 2,305 kes yang direkodkan pada minggu sebelumnya.

Pada majlis hari ini 75 kenderaan termasuk ambulans pacuan empat roda, kenderaan utiliti sukan (SUV), motosikal, bas coaster dan enjin bot bernilai RM7.4 juta telah diserahkan kepada APM Sarawak.

Artikel Berkaitan:

Majlis penyerahan itu berlangsung di Pusat APM Sarawak di sini. - Bernama