Asia Pasifik dijangka catat pertumbuhan kukuh tahun ini

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

AGENSI penarafan kredit antarabangsa, S&P Global Ratings menjangkakan pertumbuhan 5.1 peratus di Asia Pasifik (APAC) tahun ini tidak termasuk China dan Jepun, hasil daripada pemulihan dalam perdagangan luar dan momentum inflasi yang berkurangan.

Ia berkata, permintaan eksport sepatutnya melonjak sedikit pada 2024 dengan elektronik mendahului peningkatan itu, manakala kadar faedah yang terhad akan terus mempengaruhi pertumbuhan.

"Memandangkan pertumbuhan volum eksport berurutan yang sederhana pada awal 2024 dan jangkaan kami terhadap prospek permintaan global yang sederhana, kami tidak menjangkakan pemulihan eksport yang pantas," katanya dalam laporan mengenai prospek ekonomi APAC bagi suku kedua.

Dalam kalangan negara maju, S&P mengunjurkan pertumbuhan meningkat dalam negara maju yang bergantung kepada perdagangan seperti Korea Selatan, Taiwan dan Singapura, bagaimanapun merosot dalam permintaan yang diterajui oleh permintaan domestik seperti Jepun dan Australia.

Ekonomi di pasaran baharu muncul (EM) Asia biasanya mengunjurkan pertumbuhan yang kukuh dengan India, Indonesia, Filipina dan Vietnam mendahului.

Bagaimanapun, S&P telah menyemak turun unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terhadap beberapa negara termasuk Singapura sebanyak 0.4 peratus kepada 2.2 peratus, Thailand sebanyak 0.3 peratus kepada 3.9 peratus dan Malaysia serta Vietnam masing-masing sebanyak 0.2 peratus kepada 4.3 peratus dan 6.1 peratus.

Selain itu, Hong Kong dan Jepun juga disemak turun masing-masing sebanyak 0.1 peratus kepada 2.5 peratus dan 0.8 peratus.

Bagi mata wang, S&P menjangkakan mata wang APAC meningkat secara sederhana pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Ia berkata, pertumbuhan di rantau ini kukuh manakala di Amerika Syarikat, pertumbuhan mungkin perlahan dan kadar faedah menurun.

"Pada awal 2024, kebanyakan negara di Asia-Pasifik menyaksikan mata wang mereka terus susut berbanding dolar AS sehingga 5.0 peratus (dalam kes Jepun), sebahagian besarnya kerana jangkaan pasaran untuk penurunan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) ditolak tepat pada masanya.

"India dan Filipina dikecualikan, kedudukan dua negara ini kekal stabil, sebahagiannya kerana mereka mempunyai perbezaan kadar dasar yang positif dengan AS," katanya.

S&P berkata, risiko pertumbuhan utama untuk tahun ini termasuk kelembapan di AS, pertumbuhan yang lebih lemah di China, dan kelembapan ketara dalam penggunaan domestik. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28