KPKT bantu pemaju tarik penjawat awam beli rumah Sireh Residence

Zuraida (kiri) semasa membuat lawatan ke rumah contoh Projek Perumahan Awam Malaysia (PPAM) Sireh Residence, Mukim Kampung Sireh hari ini. Turut hadir Pengarah Urusan Liziz Standaco Sdn Bhd, Tan Sri Guok Nguong Peng (kanan). - Foto Bernama
Zuraida (kiri) semasa membuat lawatan ke rumah contoh Projek Perumahan Awam Malaysia (PPAM) Sireh Residence, Mukim Kampung Sireh hari ini. Turut hadir Pengarah Urusan Liziz Standaco Sdn Bhd, Tan Sri Guok Nguong Peng (kanan). - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membantu pemaju projek Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M) Sireh Residence, di sini untuk menarik lebih ramai golongan berkenaan membeli rumah di kawasan itu.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, ini kerana sambutan terhadap projek perumahan itu terlalu rendah iaitu sebanyak 248 permohonan sahaja setakat ini berbanding 2,160 unit yang disediakan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 1,080 unit membabitkan dua blok perumahan telah 90 peratus siap manakala bakinya belum dimulakan lagi.

"Kita tidak tahu apa sebab permohonannya begitu rendah sedangkan kawasan ini merupakan kawasan yang pesat membangun dan harganya di bawah mampu milik iaitu di bawah RM300,000," katanya kepada pemberita selepas melawat Sireh Residence di Lembah Sireh di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Liziz Standaco Sdn Bhd, Tan Sri Guok Nguong Peng.

Zuraida berkata, terdapat dua kategori harga yang ditawarkan iaitu di bawah RM290,000 dan RM270,000 berdasarkan keluasan rumah.

Katanya untuk itu, beliau akan berunding dengan kerajaan Kelantan dalam pertemuannya dengan exco berkaitan hari ini untuk meminta kerajaan negeri menguar-uarkan tentang rumah berkenaan kepada penjawat awam negeri.

Artikel Berkaitan:

Zuraida (tengah) mendengar taklimat daripada Pengarah Urusan Liziz Standaco Sdn Bhd, Tan Sri Guok Nguong Peng (dua dari kiri) semasa melawat tapak perumahan Projek Perumahan Awam Malaysia (PPAM) Sireh Residence, Mukim Kampung Sireh hari ini. - Foto Bernama
Zuraida (tengah) mendengar taklimat daripada Pengarah Urusan Liziz Standaco Sdn Bhd, Tan Sri Guok Nguong Peng (dua dari kiri) semasa melawat tapak perumahan Projek Perumahan Awam Malaysia (PPAM) Sireh Residence, Mukim Kampung Sireh hari ini. - Foto Bernama

Katanya, bagi tiga blok yang belum dibangunkan, kementeriannya memberikan pilihan kepada pemaju iaitu Syarikat Liziz Standaco Sdn Bhd untuk meneruskan projek berkenaan atau diubah kepada harga rumah mampu milik yang lain dan dibuka kepada awam.

"Namun harganya juga adalah di bawah RM300,000 yang mana pemaju boleh berunding dengan kementerian sama ada terus membuka untuk projek itu atau kepada harga rumah mampu milik tetapi jika mahu mengubahnya, pemaju perlulah membina dengan dana sendiri dan dijual selepas siap rumah tersebut," katanya.

Katanya, kementerian akan membantu pemaju mendapatkan pembeli terutama dalam kalangan penjawat awam yang sangat memerlukan rumah.

Sementara itu, mengulas bantahan lebih 50 gabungan badan profesional dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menggesa KPKT membatalkan pelaksanaan ruang khas merokok di tempat awam, Zuraida berkata, sebagai kerajaan kementeriannya perlu melihat kehendak dan keperluan semua pihak termasuk perokok.

"Saya tidak ambil kisah dengan komen (bantahan) itu dan sebagai kerajaan, kita perlu menyantuni semua pihak dan kalau kita tidak laksanakan perkara itu, puntung rokok akan dibuang merata-rata dan menimbulkan isu yang lain pula," katanya.

Dua hari lepas Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, gabungan badan profesional dan NGO tidak bersetuju dengan idea berkenaan, apatah lagi dengan peruntukan RM1 juta yang disediakan.

KPKT sebelum ini mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada 155 pihak berkuasa tempatan di seluruh negara bagi membina kawasan khas merokok di tempat awam. - Bernama