Polis Sabah tetap siasat walau hanya kes curi kasut

Jauteh menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai polis sempena Majlis Sambutan Hari Polis Ke-217 Tahun 2024 Kontinjen Sabah, di Auditorium IPK Sabah, di Kota Kinabalu pada Isnin.
Jauteh menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai polis sempena Majlis Sambutan Hari Polis Ke-217 Tahun 2024 Kontinjen Sabah, di Auditorium IPK Sabah, di Kota Kinabalu pada Isnin.
A
A
A

KOTA KINABALU - Walaupun kes kecil hanya melibatkan kecurian sepasang kasut, namun pihak polis tetap meneruskan siasatan dan tidak menutup kes.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, oleh demikian statistik kes jenayah di Sabah mengalami sedikit peningkatan berbanding tahun 2024 dan 2023 bagi tempoh yang sama iaitu sehingga Februari lalu.

Beliau berkata, peningkatan kes jenayah di Sabah pada tahun 2024 ialah sebanyak 782 kes atau 23.34 peratus berbanding tahun lalu 634 kes bagi tempoh sehingga Februari.

"Peningkatan ini sebenarnya disebabkan pendekatan diambil dalam memastikan semua laporan polis yang mempunyai unsur jenayah disiasat walaupun sebenarnya ada beberapa laporan yang kita tidak perlu siasat.

"Sebagai contoh kesalahan terlalu kecil atau jumlah kerugian terlalu kecil. Kadang-kadang ada kecurian hanya sepasang kasut tetapi ketakutan itu sama juga hilang RM10,000.

"Walaupun nilai hanya sepasang kasut kena buka siasatan kerana bukan nilai barang tetapi nilai kepada ketakutan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Polis ke-217 Tahun 2024 Kontinjen Sabah, di Auditorium IPK Sabah, di sini pada Isnin.

Katanya lagi, menerusi laporan dan siasatan kes kecil itu juga pihak polis dapat mengenal pasti corak jenayah yang berlaku di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Dengan strategi ini lebih berkesan dapat kita laksanakan walaupun peningkatan dari segi jenayah tetapi ia juga diikuti dengan peningkatan dalam jumlah penyelesaian yang mana daripada 782 kes dibuka setakat dua bulan pertama kita telah berjaya menyelesaikan 511 kes atau 65.35 peratus daripada jumlah kes berkenaan," katanya.

Tambah beliau lagi, antara kes yang menunjukkan peningkatan ketara dalam jenayah indeks ini adalah berkaitan kes pecah rumah.

"Pada tahun 2023 jumlah kes pecah rumah adalah sebanyak 228 dan pada tahun ini 262 atau peningkatan 34 kes bersamaan dengan 12.97 peratus.

"Ini merupakan antara yang yang menarik perhatian dan perlu diambil perhatian yang mana kes pecah rumah ini melibatkan sindiket yang bermotifkan curi peti besi," katanya.

Bagaimanapun, Jauteh berkata, polis Kontinjen Sabah di bawah Jabatan Siasatan Jenayah telah berjaya menumpaskan empat kumpulan kes kecurian peti besi di Sabah.

"Yang pertama kumpulan Arrino, yang kedua kumpulan Gurun, yang ketika kumpulan Rizal dan keempat kumpulan Yogi yang berjaya ditumpaskan dengan tangkapan membabitkan 12 orang dan berjaya menyelesaikan 14 kes pecah rumah melibatkan peti besi dengan kerugian RM1.361 juta.

"Jadi kalau lihat di sini kumpulan geng ini mempunyai modus operandi yang buat pemantauan di tempat kawasan elit apabila mereka lihat kawasan ada rumah yang mempunyai tanda tidak dihuni dalam tempoh yang tertentu inilah kesempatan mereka gunakan.

"Salah satu contoh terbaru, kumpulan ini mengenal pasti rumah berkenaan tidak ditinggal dalam jangka masa pendek oleh tuan rumah berdasarkan jumlah surat khabar yang tidak diambil di koridor atau kaki lima rumah berkenaan dan mereka melihat serta mendapat petunjuk rumah itu ditinggalkan untuk jangka masa pendek," katanya.

Sehubungan itu, Jauteh turut menasihatkan penghuni rumah lebih peka dengan memastikan mereka tidak meninggalkan tanda bahawa rumah tidak berpenghuni dalam tempoh tertentu yang menjadi sasaran penjenayah tersebut.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28