Singkir fahaman sempit, tindakan tegas golongan hina agama - Anwar

Anwar ketika berucap pada sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur hari ini. - Foto: Bernama
Anwar ketika berucap pada sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hentikan fahaman perkauman sempit kerana perkara seumpama itu tidak membawa sebarang kemajuan serta kesejahteraan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bibit-bibit perkauman sempit yang menyentuh soal agama atau sensitiviti sesuatu kaum perlu ditangani sebaiknya supaya ia tidak mencemarkan keharmonian masyarakat berbilang bangsa di negara ini.

Tegas beliau, pihak tertentu yang sengaja menyentuh isu agama untuk digunakan demi kepentingan diri perlu disiasat dan ditangani mengikut jalur hukum, bukan diambil tindakan secara gerombolan berasingan.

Menurutnay, jika ada masalah termasuk penghinaan terhadap agama, biar jalur hukum yang menentukannya.

"Perkara seumpama ini perlu disiasat secara profesional, bertindak serta mendakwa dengan segera.

"Ini kerana kita tidak bertolak ansur dalam apa jua tindakan yang menghina mana-mana kaum dan agama, apatah lagi agama Islam sebagai agama Persekutuan," katanya pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena sambutan peringatan Hari Polis Ke-217 Tahun 2024 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) dekat sini.

Hadir sama Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan memberi laluan penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan dan beliau sendiri tidak mencampuri urusan siasatan.

Sebaliknya katanya, beliau sentiasa menggesa PDRM untuk mengambil tindakan tegas supaya tidak berlaku perkara yang boleh merosakkan keharmonian negara.

Tambah beliau, urusan menghukum biarlah dilaksanakan mengikut kaedah undang-undang dan fakta yang diputuskan oleh badan kehakiman negara.

Jelas beliau, tidak ada mana-mana pihak yang boleh mengambil tindakan secara sewenang-wenangnya.

Kata beliau, jika berhadapan masalah dan terdapat laporan, perlu dilakukan siasatan dan pendakwaan, maka biar jalur hukum melalui badan kehakiman yang bebas untuk menentukannya.

"Saya berharap perkara ini dapat difahami kerana kita tidak boleh lagi berkompromi. Saya tak peduli sama ada orang itu datangnya daripada ahli politik, tokoh besar atau kecil, jika bersalah perlu dihukum.

"Sekiranya orang ramai tidak tunduk kepada hukum, negara ini akan rosak dan tidak mungkin akan berkembang," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!