Migrasi ke luar bandar meningkat

Rina (tiga dari kiri) melihat cara-cara pengukiran pada cenderahati ketika mengadakan lawatan di tapak pameran usahawan Mara pada Majlis Ramah Mesra dan Ziarah Kasih Bersama Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang semalam. - Foto: Bernama
Rina (tiga dari kiri) melihat cara-cara pengukiran pada cenderahati ketika mengadakan lawatan di tapak pameran usahawan Mara pada Majlis Ramah Mesra dan Ziarah Kasih Bersama Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang semalam. - Foto: Bernama
A
A
A

PORT DICKSON - Peningkatan pola penghijrahan penduduk bandar ke luar bandar sejak kebelakangan ini mampu merancakkan usaha membangunkan kawasan luar bandar sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi penduduk luar bandar yang lebih memberangsangkan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pihaknya sudah bersedia untuk mendepani perubahan ini termasuk dengan melaksanakan pelbagai pembangunan baharu serta penambahbaikan dari segi infrastruktur selain memudahkan usaha menarik pihak swasta untuk melabur di kawasan luar bandar.

"Berdasarkan laporan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar migrasi dari bandar ke luar bandar meningkat kepada 19.5 peratus pada 2018 berbanding 4.2 peratus pada 2016 manakala migrasi dari luar bandar ke bandar pula menunjukkan penurunan iaitu dari 15.2 peratus pada 2016 kepada 4.8 peratus pada 2018.

"Ini membolehkan usaha untuk membangunkan kawasan luar bandar terus dipergiat bahkan ia akan menjadi satu peluang untuk menarik lebih ramai pelabur untuk melabur di kawasan ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Ramah Mesra dan Ziarah Kasih Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang di sini semalam.

Mengulas lanjut Rina berkata, faktor persekitaran dan kemudahan asas yang semakin baik di luar bandar menjadi antara penyumbang kepada peningkatan migrasi ini.

Beliau berkata, pihaknya akan terus berusaha menyediakan pelbagai kemudahan asas kepada masyarakat luar bandar bagi menyokong pembangunan ekonomi serta mewujudkan persekitaran kehidupan yang lebih menarik serta kondusif.

"Ia supaya kawasan luar bandar akan terus menjadi pilihan ramai untuk dijadikan sebagai tempat tinggal, bekerja, melabur dan destinasi pelancongan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: