Peningkatan CVD rencatkan pertumbuhan ekonomi

Pakar-pakar perubatan yang hadir (dari kanan, Jonathan, Dr Sri WahyuTaher, Datuk Dr Wan Azman, Datuk Seri Dr Azhari, Dr Zanariah Hussein dan Profesor Dr Asrul Akhmal Shafie.
Pakar-pakar perubatan yang hadir (dari kanan, Jonathan, Dr Sri WahyuTaher, Datuk Dr Wan Azman, Datuk Seri Dr Azhari, Dr Zanariah Hussein dan Profesor Dr Asrul Akhmal Shafie.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peningkatan jumlah pesakit kardiovaskular (CVD) di negara ini sejak 2006 merencatkan pertumbuhan ekonomi dan produktiviti sekiranya tidak dirawat dengan segera.

Pakar Perunding Kanan Kardiologi, Datuk Dr Wan Azman Wan Ahmad berkata, kos perubatan bagi pesakit CVD akan meningkat sekiranya mereka tidak mendapatkan rawatan awal.

“Kadar kematian pesakit ini dijangka meningkat kepada 31,000 kes pada tahun 2025 dan ia bukan sahaja memberi kesan kepada keluarga, tetapi juga negara menanggung bebanan ekonomi sehingga merencatkan kadar pertumbuhan.

“Senario pesakit Malaysia di usia muda cukup membimbangkan dan permulaan kes CVD dengan purata pesakit 56 hingga 59 tahun adalah lebih tinggi berbanding negara maju.

“Kini trend tersebut telah berubah kerana kira-kira 25 peratus pesakit sindrom ini adalah di bawah 50 tahun,” katanya kepada Sinar Harian semasa majlis pelancaran Kertas Kerja Heart Matters Menggariskan Masalah Kolestrol Tinggi Sebagai Faktor Risiko Utama Kardiovaskular Yang paling Kurang Didiagnosis anjuran IQVIA di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Dr Wan Azman berkata, pesakit perlu mengambil langkah proaktif bagi memastikan masalah penyakit kronik seperti kolestrol tinggi, serangan jantung, kanser dan kencing manis dapat dikawal.

Tambah beliau, dengan teknologi dan inovasi terkini dalam bidang perubatan ia mampu merawat pesakit dengan lebih baik, namun menelan kos perbelanjaan yang tinggi.

“Bermula awal tahun 2023, hospital terpilih mula menyediakan rawatan CDV yang lebih efisien dan pesakit hanya perlu datang dua kali setahun sahaja berbanding sebelum ini mereka perlu datang setiap tiga bulan sekali.

“Pesakit juga perlu mengubah persepsi dan kepercayaan mereka terhadap ubat-ubatan saintifik,” katanya.