Malaysia masih jadi destinasi pilihan FDI di rantau ini

Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan pelaburan langsung asing (FDI) di rantau ini. Foto hiasan
Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan pelaburan langsung asing (FDI) di rantau ini. Foto hiasan
A
A
A

MALAYSIA kekal sebagai destinasi pilihan pelaburan langsung asing (FDI) di rantau ini, termasuk menarik minat kalangan syarikat-syarikat multinasional (MNC) yang berhasrat mengembangkan jejak global secara strategik.

Ketika berkongsi perkara itu, Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo berkata, susulan perkembangan geopolitik baru-baru ini, usaha mendapatkan penyumberan omni telah menjadi tumpuan utama bagi syarikat di serata industri yang dilihat penting dalam mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan.

"Kalangan pengeluar secara kontrak terus beralih ke negara ini dan kami turut menyaksikan perkembangan sama oleh mereka sudah pun bertapak di sini," katanya menjawab pertanyaan Bernama menerusi e-mel.

Merujuk laporan media, Julian berkata, Pulau Pinang misalnya berjaya menarik FDI bernilai lebih RM60 bilion pada tahun lepas yang lebih tinggi daripada 2013 hingga 2020.

Antara kekuatan utama Malaysia adalah akses mudah ke pasaran utama Asia; permintaan pengguna yang kukuh untuk barangan dan perkhidmatan antarabangsa; sokongan institusi, infrastruktur yang maju; rangka kerja undang-undang yang mantap; bakat atau tenaga kerja yang mampu bertutur dalam bahasa Inggeris selain kemahiran digital serta perjanjian perdagangan bebas.

"Sehubungan itu, bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila negara ini dinilai dalam kelompok terbaik dari segi globalisasi,” katanya.

Menurut laporan terkini Global Connectedness atau Keberhubungan Global DHL Group yang dilancarkan pada 13 Mac, 2024, Malaysia di kedudukan ke-26 daripada 181 ekonomi atau negara, didorong oleh pertumbuhan aliran perdagangan (import dan eksport merentasi barangan dan perkhidmatan) serta peningkatan aliran keluar masuk FDI.

Mengulas sama ada cukai perkhidmatan enam peratus ke atas perkhidmatan logistik yang berkuatkuasa pada 1 Mac, 2024, boleh menjejaskan perniagaan syarikat di negara ini, Julian berkata, cukai itu hanya dikenakan kepada penghantaran domestik dan tidak termasuk antarabangsa, yang merupakan tugas utama DHL Express Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Apa pun keadaannya, pelaksanaan cukai perkhidmatan itu telah lama menjadi topik bualan dalam kalangan industri logistik dan kami kekal dalam usaha perbincangan dengan pihak berkuasa yang sewajarnya.

"Pada masa sama, kami juga mengekalkan komunikasi terbuka dengan pelanggan bagi menyediakan garis panduan sewajarnya dan sokongan bagi peralihan yang lancar,” katanya.

Memulakan langkah di Malaysia sejak 1973, DHL Express mempunyai lebih daripada 60 peratus bahagian dalam pasaran antarabangsa (TDI) di negara ini manakala bahagian di peringkat serantau dan global adalah masing-masing 57 peratus dan 43 peratus.

Seiring dengan unjuran keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia berkembang pada tahap lebih ketara iaitu empat peratus hingga lima peratus pada 2024 berbanding 3.7 peratus tahun lepas, Julian berkata, syarikat itu menjangkakan permintaan pulih dengan cepat pada separuh pertama tahun ini dan ekonomi meningkat semula pada separuh kedua 2024.

"Tahun lepas menyaksikan dunia pasca pandemik yang bergelut dengan cabaran ekonomi dan geopolitik, sama ada di peringkat luar atau berhampir dengan Malaysia. Faktor-faktor ini hanya mencetuskan lebih banyak ketidaktentuan secara keseluruhan yang berterusan sehingga ke 2024.

"Dalam senario sedemikian, pendekatan bagi kemajuan masa depan kami adalah melakukan perancangan kapasiti, pelarasan harga serta kecekapan dalam memastikan daya tahan model perniagaan kami," katanya.

Menyentuh pelan pengembangan DHL Express Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang di negara ini, Julian menegaskan syarikat itu akan terus melabur dalam kualiti perkhidmatannya, mengutamakan kapasiti rangkaian di seluruh negara, infrastruktur logistik dan kumpulan kenderaan dengan ciri pelepasan karbon rendah.

Tidak ketinggalan, aspek pendigitalan seperti automasi, kecerdasan buatan (AI) dan data raya dalam usaha meningkatkan kecekapan operasi dan pengalaman pelanggan.

Bagi aspek kemampanan, Julian berkata, DHL Express mempunyai sebanyak 52 van elektrik dan tujuh motosikal elektrik yang terbabit dalam usaha pengambilan dan penghantaran selain berada di landasan tepat bagi mencapai 60 peratus elektrifikasi kumpulan kenderaan menjelang 2030. - Bernama