World #QuranHour 2024: PPRNNJ sasar 1,000 peserta semua daerah

World #QuranHour 2024 akan diadakan pada 4 April. (Gambar kecil: Roziah Kamal)
World #QuranHour 2024 akan diadakan pada 4 April. (Gambar kecil: Roziah Kamal)
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Pendidikan Rumah Ngaji Negeri Johor (PPRNNJ) menyasarkan 1,000 peserta daripada semua daerah bagi bersama-sama memperkasa budaya membaca al-Quran sempena World #QuranHour 2024 yang kesembilan anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).

Penyelaras program negeri, Roziah Kamal berkata, majlis tersebut akan diadakan di Masjid Jamek Labis, Segamat bermula jam 11 pagi hingga 1 petang pada 4 April tahun ini.

Menurutnya, persediaan yang dibuat selama tiga bulan dilihat memberi impak positif apabila mendapat kerjasama penuh Pejabat Kadi Daerah Segamat dan juga pihak kariah masjid.

“Kami akan berkampung di Masjid Jamek Labis, Segamat selama satu hari bagi menjayakan program ini dan jumlah sasaran yang ditetapkan 1,000 orang dari semua daerah.

“Pemilihan lokasi ialah bertepatan dengan matlamat kami yang ingin mengajak orang ramai bersama-sama membudayakan bacaan al-Quran dan tidak hanya memberi tumpuan di masjid sekitar Johor Bahru sahaja.

“Usaha memperkasa budaya membaca al-Quran ke setiap daerah telah bermula sejak lima tahun lalu dan ia merupakan kaedah mendekatkan masyarakat dari semua daerah untuk bersama-sama menghayati ayat serta makna kitab suci ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Program World #QuranHour 2024 telah memilih Surah Al-Jumu'ah sebagai tema, yang bertujuan memupuk kefahaman dan memangkin perubahan positif serta transformasi masyarakat di peringkat global.

Ia akan disiarkan secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV AlHijrah, Astro Oasis dan laman Facebook Sinar Harian serta WUIF.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menurut Setiausaha PPRNNJ, Wan Norashekin Wan Ismail, majlis tersebut akan dimeriahkan dengan kehadiran guru al-Quran, 14 pusat tahfiz sekitar daerah itu, jemaah, wakil pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UITM) Segamat.

Wan Norashekin Wan Ismail
Wan Norashekin Wan Ismail

Ujarnya, bagi memeriahkan acara, pihak mereka akan mengagihkan bubur lambuk kepada jemaah dan tetamu yang hadir pada hari tersebut.

“Selain daripada masyarakat sekitar Segamat, kami juga turut menjemput pelajar-pelajar dan guru-guru dari Johor Bahru dan Batu Pahat untuk bersama-sama memeriahkan majlis kali ini.

“Majlis dijangka akan selesai sekitar jam 1 petang sebelum jemaah meneruskan dengan solat Zuhur berjemaah dan juga kita akan agihkan bubur lambuk kepada mereka yang hadir,” katanya.