MCRA gesa henti atau tangguh pindaan hak kewarganegaraan

Suriani Kempe (tengah) ketika sidang media berhubung isu hak kewarganegaraan di pejabat Buku Jalanan di Chow Kit, Kuala Lumpur pada Ahad.
Suriani Kempe (tengah) ketika sidang media berhubung isu hak kewarganegaraan di pejabat Buku Jalanan di Chow Kit, Kuala Lumpur pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gabungan Hak Kerakyatan Malaysia (MCRA) menggesa kerajaan menghentikan atau sekurang-kurangnya menangguhkan pindaan peruntukan mengenai hak kewarganegaraan sehinggalah data serta bukti sahih dari lapangan dan kajian terperinci dilakukan terlebih dahulu.

Jurucakap MCRA, Suriani Kempe berkata, pindaan ini memerlukan kajian terperinci supaya tidak menimbulkan kemudaratan kepada kumpulan rentan yang terlibat.

“MCRA meraikan keputusan kerajaan menarik balik Seksyen 1(e) dan Seksyen 19B daripada rang undang-undang pindaan dicadangkan mengenai kewarganegaraan.

“Bagaimanapun, pindaan yang masih kekal meninggalkan beberapa kekeliruan dan terdapat kemungkinan pindaan tersebut tidak dapat dilaksanakan dalam amalan,” katanya pada sidang media di pejabat Buku Jalanan di sini pada Ahad.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini dilaporkan berkata, cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan isu kewarganegaraan dibuat kerana mengambil kira beberapa faktor termasuk keperluan untuk tidak memberikan status kerakyatan secara automatik kepada warga asing yang bermastautin di negara ini.

Jelas Suriani, Seksyen 19B dan Seksyen 1(e) mesti dibaca bersama peruntukan lain yang akan dipinda atau dimansuhkan dan tidak boleh dibaca secara berasingan.

“Kerajaan berhasrat membuang perkataan ‘bermastautin secara tetap’ daripada Seksyen 1(a), dengan membuang perkataan itu ia akan membahayakan hak kewarganegaraan untuk bayi terdampar dan kanak-kanak kerakyatan antara generasi.

“Selalunya, ketiadaan kewarganegaraan di negara ini diwarisi akibat sejarah dan mereka tidak mempunyai pilihan menjadi warganegara di negara lain,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, sekiranya Seksyen 1(a) dipinda terdapat risiko untuk ketiadaan kewarganegaraan yang akan diwarisi generasi akan datang.

“Di bawah Seksyen 1(a), golongan paling terjejas adalah kanak-kanak kepada Orang Asli dan Orang Asal terutamanya mereka yang tinggal di pedalaman yang mempunyai keupayaan terhad mengakses pejabat kerajaan dan maklumat mengenai pendaftaran kewarganegaraan," katanya.

Jelasnya, untuk mengekalkan laluan kewarganegaraan golongan rentan ini serta memastikan konsesi kerajaan mengenai Seksyen 19B adalah tulen, Seksyen 1(a) juga harus digugurkan daripada cadangan pindaan.

Mengulas lanjut, tegasnya keputusan kerajaan mengekalkan Seksyen 1(e) melindungi orang daripada menjadi seorang yang tanpa kewarganegaraan menjadi tidak lengkap sekiranya kerajaan terus memansuhkan Seksyen 2(3).

“Seksyen 2(3) menjelaskan seseorang dilahirkan di Malaysia tidak secara automatik menjadi seorang warganegara di bawah Seksyen 1(e) sekiranya individu tersebut memperoleh kewarganegaraan negara lain dalam masa satu tahun dari tarikh kelahiran,” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga perlu meneliti berhubung Perkara 26(2) iaitu peruntukan ini adalah untuk menghalang perkahwinan semata-mata untuk tujuan mendapat kewarganegaraan.

“Sebarang perubahan dicadangkan harus menjamin bahawa pasangan tidak menjadi seorang tanpa kewarganegaraan," katanya.

Mendepani perkara ini, MCRA juga meminta kerajaan supaya mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji hal kewarganegaraan.