'Saya tak halang atau letak syarat ketat beri peruntukan wakil rakyat'- Anwar

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah menghalang atau meletakkan syarat ketat dalam soal pemberian peruntukan kepada wakil-wakil rakyat pembangkang.

Anwar berkata, beliau mahu peraturan dihormati iaitu Ahli Parlimen pembangkang perlu melakukan rundingan bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof terlebih dahulu berhubung peruntukan pembangunan kawasan seperti kelaziman yang diamalkan dalam sistem demokrasi.

"... runding dahulu, saya tidak pernah meletakkan syarat atau prasyarat untuk menyokong Perdana Menteri... tak perlu ada syarat menyokong Perdana Menteri.

"Ada beberapa peraturan (runding soal peruntukan dengan kerajaan) yang dilakukan dalam mesyuarat yang lalu (ketika Pakatan Harapan menjadi pembangkang).

"Saya kadang-kadang) aneh, wakil (kerajaan terdahulu) yang berundingan dulu kini di sebelah sana (pembangkang)... dia tahu prosesnya berapa kali berunding, tapi sekarang macam tak tahu langsung,” kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Perdana Menteri turut menempelak kenyataan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) ketika mengajukan soalan tambahan yang mendakwa Ahli Parlimen pembangkang perlu menyokong Perdana Menteri untuk mendapatkan peruntukan.

Ini selepas seorang lagi Ahli Parlimen pembangkang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) mengumumkan sokongan kepada Anwar ketika sidang Dewan Rakyat.

Artikel Berkaitan:

Syed Abu Hussin menjadi wakil rakyat pembangkang kelima daripada Bersatu yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri selepas Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Anwar berkata, ketika Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan, tiada peruntukan diberikan kepada wakil-wakil rakyat pembangkang.

"Masa mereka (pembangkang) perintah (jadi kerajaan) harta Melayu mereka sakau banyak... ini kenyataan. Tiga tahun kamu dalam kerajaan, (bekas) menteri-menteri ada di sana (blok pembangkang), apa peruntukan yang diberi kepada orang lain dan pembangkang ketika itu? Mengapa dulu tak beri?" soalnya.

Menjawab soalan Takiyuddin mengenai isu peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang yang didakwa bertentangan dengan janji digariskan dalam dokumen tawaran manifesto PH pada pilihan raya umum lepas, Anwar berkata, beliau masih berpegang kepada prinsip peruntukan yang adil.

"Ya betul (soal peruntukan adil kepada semua wakil rakyat) dalam dokumen Harapan, sebab itu saya patuh kepada keputusan (peruntukan adil)... setakat yang saya bincang dengan Timbalan Perdana Menteri (Fadillah) tak pernah kata wajib sokong Perdana Menteri untuk dapat peruntukan.

"Ini bincang pun tidak tapi sombong bukan main...saya (dulu) sebagai Ketua Pembangkang, bila dipanggil jumpa, saya hadir. Sikap (pembangkang) itu mesti reciprocal (timbal balik)," kata Perdana Menteri. - Bernama.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!