Pertandingan Pelita Raya berpotensi ke peringkat antarabangsa - Exco

Razali (depan, kanan) bersama kanak-kanak yang hadir memeriahkan acara penutup pertandingan Pelita Raya Terengganu (Peliter @TTI), pada malam Sabtu. FOTO: Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Razali (depan, kanan) bersama kanak-kanak yang hadir memeriahkan acara penutup pertandingan Pelita Raya Terengganu (Peliter @TTI), pada malam Sabtu. FOTO: Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Acara tahunan anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu iaitu Pelita Raya Terengganu (Peliter @TTI) berpontensi diangkat untuk dipertandingkan di peringkat antarabangsa pada tahun depan.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pertandingan itu dilihat mampu menarik penyertaan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Serawak serta negara terdekat seperti Singapura, Thailand, Brunei dan Indonesia.

Menurutnya, potensi itu dilihat berdasarkan sambutan luar biasa acara selama lima hari diadakan di Taman Tamadun Islam (TTI) dekat sini yang menarik kunjungan sehingga 150,000 orang melebihi sasaran 50,000 pengunjung.

Razali (depan) menunjukkan pelita daripada tempurung kelapa yang turut dipertandingkan dalam pertandingan Pelita Raya Terengganu (Peliter @TTI). FOTO: Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Razali (depan) menunjukkan pelita daripada tempurung kelapa yang turut dipertandingkan dalam pertandingan Pelita Raya Terengganu (Peliter @TTI). FOTO: Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).

"Sebelum ini saya telah mengesyorkan supaya acara Pelita Raya yang masih ada di Terengganu ini diangkat ke peringkat antarabangsa dan kita boleh minta penyertaan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak serta negara-negara terdekat.

"Insya-ALLAH kita tengok minggu depan kementerian (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) akan jawab.

"Kalau mereka setuju untuk angkat Pelita Raya ni sebagai acara tahunan negara dan dimasukkan dalam kalendar pelancongan, ia merupakan kejayaan untuk Terengganu," katanya ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis penutup pertandingan Peliter Raya 2024 di TTI pada malam Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Exco Pelancongan Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Sulaiman Sulong dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzwan Abd Rahman.

Artikel Berkaitan:

Pertandingan Peliter @TTI berlangsung selama lima hari bermula 18 hingga 23 Mac itu mengetengahkan pelbagai idea kreatif setiap pejabat daerah menerusi dekorasi berkonsepkan pelita raya zaman dahulu.

Menurut Razali, acara yang terus mendapat sambutan saban tahun itu turut menarik minat golongan muda untuk melihat secara lebih dekat kaedah penghasilan pelita raya.

"Kita mahu kekalkan tradisi lama ini supaya generasi baharu tahu bahawa inilah alat yang digunakan oleh nenek moyang kita dulu ketika nak sambut hari raya. Dulu tak ada elektrik jadi terpaksa pasang pelita.

"Ada juga saya lihat pelita dihasilkan daripada tempurung kelapa di mana ia merupakan pelita zaman dahulu. Saya rasa generasi sekarang pun ada yang tak tahu mengenainya," ujar beliau.

Razali (enam dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Pelita Raya Terengganu (Peliter @TTI). FOTO : Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Razali (enam dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Pelita Raya Terengganu (Peliter @TTI). FOTO : Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Pertandingan Peliter Raya menyaksikan Pejabat Daerah Kuala Terengganu menyandang juara diikuti Pejabat Daerah Kuala Nerus (naib johan) dan tempat ketiga menjadi milik Pejabat Daerah Kemaman.

Secara keseluruhan sebanyak RM11,500 wang tunai ditawarkan di mana hadiah bagi tempat pertama adalah wang tunai sebanyak RM5,000 beserta plak, tempat kedua RM3,000 dan plak, tempat ketiga RM1,000 dan plak serta hadiah saguhati (tujuh pemenang) sebanyak RM500 dan plak.

Kaedah pemarkahan bagi pemilihan pemenang merangkumi pencahayaan, kreaviti, pengisian aktiviti, keselamatan dan promosi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!