Elaun guru Pasti: Pakar saran garis panduan jelas pekerja sukarela

Laporan akhbar Sinar Harian pada Rabu lalu. Gambar kecil: Dr Muhammad Aiman Arifin
Laporan akhbar Sinar Harian pada Rabu lalu. Gambar kecil: Dr Muhammad Aiman Arifin
A
A
A

SHAH ALAM - Pekerja berstatus sukarelawan tidak terikat dengan akta buruh yang mewajibkan majikan perlu membayar gaji minimum serta tidak menerima caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (Sumber Manusia), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Arau, Dr Muhammad Aiman Arifin, perkara itu jelas melainkan terdapat kenyataan atau terma tertentu yang dinyatakan dalam surat tawaran dikeluarkan majikan.

"Secara umumnya kalau kita sebut pekerja sukarela ini tidak terikat dan khidmat mereka ini diperlukan dalam aktiviti tertentu tapi apa yang menjadi isu sekarang ini status mereka ialah pekerja sukarela tapi menjalankan tugas seperti pekerja yang berjadual.

"Jadi, di sinilah kita perlu melihat semula kandungan terdapat dalam surat tawaran yang diberikan oleh majikan atau kontrak perjanjian kepada pekerja sukarela bagi membuat penilaian jelas.

"Seperti yang saya sebutkan tadi definisi sukarelawan ini diwujudkan bagi menyokong aktiviti atau operasi menjurus kepada kebajikan. Sebab itulah saya melihat perlunya diwujudkan satu polisi jelas untuk pekerja kumpulan ini," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada pekerja sukarela termasuk Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) terikat atau sebaliknya dengan akta buruh yang mewajibkan majikan perlu membayar gaji minimum, mencarum KWSP dan PERKESO.

Ia susulan tular satu memo daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia mengenai satu arahan siasatan pemeriksaan berkanun terhadap Pasti selain Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam atau SMITI yang didakwa membayar gaji rendah kepada kakitangan di bawah daripada kadar gaji minimum iaitu RM1,500.

Mengulas lanjut, Muhammad Aiman berkata, sudah tiba masanya satu garis panduan atau polisi jelas mengenai perkerja sukarela diwujudkan bagi melindungi kumpulan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana katanya, disebabkan status yang tidak jelas menyebabkan pekerja dalam kelompok itu tidak dilindungi dengan sewajarnya sebagai pekerja.

"Saya juga melihat perlunya satu pasukan petugas khas untuk meneliti polisi atau garis panduan agar isu mengenai pekerja sukarela ini ditangani dengan sebaiknya bagi melindungi golongan pekerja di negara ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!