Siasatan Pasti: 'Jangan halang penjawat awam laksana tugas'

Steven ketika ditemui media pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di padang terbuka Kompleks Setia Perkasa hari ini. Foto Bernama
Steven ketika ditemui media pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di padang terbuka Kompleks Setia Perkasa hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Semua pihak termasuk parti politik diminta tidak menghalang atau menganggu penjawat awam yang menjalankan tugas mereka membuat siasatan dalam apa jua keadaan, kata Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.

Beliau yang ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di sini hari ini berkata, sekiranya seseorang itu yakin tidak melakukan apa-apa kesalahan berkaitan siasatan yang sedang dijalankan, pihak berkenaan tidak perlu berasa khuatir.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden bahawa Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) milik Pas adalah aktiviti sukarelawan yang melibatkan ahli parti dan tidak membabitkan aktiviti antara pekerja dengan majikan, dan ia bukan aktiviti perniagaan.

Dakwaan itu dibuat selepas tular satu memo daripada JTKSM mengenai arahan siasatan pemeriksaan berkanun terhadap Pasti selain Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam, yang didakwa membayar gaji rendah kepada petugas di bawah daripada kadar gaji minimum iaitu RM1,500.

Pasti merupakan pusat pendidikan prasekolah yang dikelola oleh Jabatan Pasti di bawah Dewan Pemuda Pas Malaysia.

Steven berkata, beliau berharap pihak terbabit faham bahawa apabila jabatan kerajaan memulakan siasatan, ia dibuat tanpa pilih kasih, atau tekanan mana-mana pihak.

"Apa yang kita buat ialah kita tidak pilih bulu, tiada antara dua darjat, tak kira syarikat swasta, kerajaan, atau parti-parti politik, kita tegas bahawa hak pekerja harus dijaga, gaji pekerja dia berhak (terima) waima pekerja asing.

"Fungsi kita ialah mempertahan hak pekerja dan dalam aspek ini untuk kita melaksanakan tugas kita, saya ucap terima kasih kepada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), mereka dah ambil inisiatif untuk bertindak atas aduan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ketika menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) di persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini Steven berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan termasuk parti politik, dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku perlanggaran hak pekerja.

Sementara itu Steven berkata, semalam genap 100 hari kepimpinannya di KESUMA dan dalam tempoh itu, menurutnya pelbagai inisiatif dilakukan antaranya reformasi Mahkamah Perusahaan Malaysia, memperkenalkan Program Insentif Latihan Amali (Ilham), menegakkkan hak pekerja terutama dari segi gaji dan memperluas perkhidmatan-perkhidmatan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28