Ratusan udang galah dikhuatiri mati dituba di Sungai Bernam

Jabatan Perikanan Perak bersama agensi terlibat menjalankan siasatan di lokasi kejadian berlakunya aktiviti menuba udang galah sebaik menerima laporan pada Khamia. Foto Jabatan Perikanan Perak
Jabatan Perikanan Perak bersama agensi terlibat menjalankan siasatan di lokasi kejadian berlakunya aktiviti menuba udang galah sebaik menerima laporan pada Khamia. Foto Jabatan Perikanan Perak
A
A
A

TANJUNG MALIM - Ratusan udang galah dikhuatiri mati akibat aktiviti menuba di Sungai Bernam dekat Slim River di sini pada Khamis.

Ketua Jaringan Perikanan Slim River dan Nelayan Darat daerah Muallim, Shaharin Samsuddin berkata, perkara itu disedari seorang nelayan tempatan selepas melihat haiwan yang dikenali dengan gelaran si sepit biru tersebut timbul ke permukaan sungai dan naik ke darat.

Menurutnya, kebanyakan udang galah yang mati masih bersaiz kecil dan dikhuatiri boleh mengganggu populasi di kawasan sungai berkenaan kerana proses pembiakan tidak berlaku.

Sampel yang diambil untuk siasatan. Foto Jabatan Perikanan Perak
Sampel yang diambil untuk siasatan. Foto Jabatan Perikanan Perak

"Kita tak dapat kesan siapa pelakunya, boleh jadi orang luar atau orang-orang yang sudah biasa dengan kawasan ini kerana kita jumpa banyak kesan tapak kasut.

"Kesan yang kita lihat itu mungkin hanya sebahagian, saya yakin di sepanjang jajaran sungai ini banyak udang galah menerima kesan yang sama.

"Perkara sebegini tak sepatutnya berlaku kerana penduduk dan nelayan darat banyak bergantung kepada hasil tangkapan di sungai ini termasuklah udang galah," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Kesan tapak kasut yang ditemui di lokasi berlakunya aktiviti menuba udang galah di sungai berkenaan. Foto Jabatan Perikanan Perak
Kesan tapak kasut yang ditemui di lokasi berlakunya aktiviti menuba udang galah di sungai berkenaan. Foto Jabatan Perikanan Perak

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kegiatan menuba udang galah di kawasan itu bukan perkara baharu kerana pernah beberapa kali berlaku sebelum ini terutama setiap kali musim kemarau.

"Kali ini nampak pelakunya menggunakan racun tuba yang kuat menyebabkan kematian udang dalam skala besar," katanya.

Shaharin berkata, sejak Januari lepas, lubuk Sungai Bernam memang menjadi tumpuan kaki pancing untuk memburu udang galah.

Katanya, udang galah di sungai tersebut mempunyai permintaan tinggi kerana tidak berbau hanyir dan mampu dijual di pasaran sehingga RM120 sekilogram.

Lokasi aktiviti menuba udang galah dikesan. Foto Jabatan Perikanan Perak
Lokasi aktiviti menuba udang galah dikesan. Foto Jabatan Perikanan Perak

"Sekarang musim panas, memang tengah banyak udang, jika bernasib baik, pemancing boleh dapat hasil tangkapan sehingga 3 kilogram," katanya.

Sementara itu, siasatan dijalankan Jabatan Perikanan Perak di kawasan terlibat pada hari sama kes dilaporkan bersama Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Kampung Acheh, Pusat Pengembangan Akuakultur Tapah dan Pejabat Perikanan Daerah Batang Padang dan Muallim.

Menerusi kenyataan dikongsi di Facebook, siasatan mendapati, air di sepanjang Sungai Bernam agak cetek dan kadar bacaan ammonia agak tinggi dari bacaan yang biasa.

Kebanyakan udang galah yang mati masih bersaiz kecil dan dikhuatiri boleh mengganggu populasi di kawasan Sungai Bernam.
Kebanyakan udang galah yang mati masih bersaiz kecil dan dikhuatiri boleh mengganggu populasi di kawasan Sungai Bernam.

"Kemungkinan besar udang yang mati adalah disebabkan dituba. Hasil siasatan juga mendapati lebih 10 kilogram udang galah telah mati di kawasan kejadian," kata kenyataan itu.

Jabatan Perikanan turut mengingatkan, kesalahan menuba boleh disabitkan di bawah Akta Perikanan 1985 Kaedah-kaedah Perikanan (Sungai) Perak 1992.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28