Tarawih bersama imam hingga selesai umpama qiamullail sepanjang malam

KEJARLAH pahala berkali ganda sepanjang bulan Ramadan ini dengan melakukan ibadah seperti solat sunat tarawih dan amal-amal soleh.
KEJARLAH pahala berkali ganda sepanjang bulan Ramadan ini dengan melakukan ibadah seperti solat sunat tarawih dan amal-amal soleh.
A
A
A

MEREKA yang mendirikan solat sunat tarawih bersama imam hingga selesai seumpama melakukan qiamullail sepanjang malam.

Demikian fakta yang dikongsikan oleh Pegawai Tadbir (Hal Ehwal Islam), Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Universiti Teknologi Malaysia, Ustaz Panji Alam Mazhisham.

USTAZ PANJI ALAM
USTAZ PANJI ALAM

Ia bersandarkan kepada hadis daripada Abu Zar Al-Ghifari bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berdiri (bersolat tarawih) bersama imam sehingga dia (imam) beredar (selesai), dituliskan baginya ganjaran orang yang qiam semalaman (seumpama bersolat sepanjang malam).” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

Selesaikan solat bersama imam

Menurut Panji Alam, lafaz 'solat bersama imam sampai ia selesai' jelas menunjukkan bahawa ia menjadi anjuran dan sunnah Nabi Muhammad SAW untuk menunaikan solat tarawih bersama imam dari awal hingga witir disudahkan.

“Hadis ini juga memberi kefahaman kepada kita bahawa seandainya imam itu mendirikan solat tarawih sebanyak 20 rakaat dan tiga rakaat witir, maka makmum juga perlu menyelesaikan kesemua rakaat tersebut bersama imam sekiranya ingin mendapat fadilat pahala solat sepanjang malam.

Artikel Berkaitan:

“Begitu juga, jika imam mendirikan lapan rakaat solat tarawih, diikuti tiga rakaat witir, maka makmum juga perlu menyelesaikan kesemua rakaat tersebut bersama imam,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Sepanjang Ramadan, ujar penceramah itu, umat Islam sememangnya digalakkan untuk mengerjakan qiamullail.

Ini kerana terdapat hadis sahih menyatakan, ALLAH menjanjikan pengampunan dosa bagi mereka yang mendirikan Ramadan kerana keimanan dan mengharap keredaan-NYA.

AMBIL kesempatan sepanjang Ramadan ini untuk istiqamah mengerjakan solat sunat tarawih. -Gambar hiasan/ Foto: Bernama
AMBIL kesempatan sepanjang Ramadan ini untuk istiqamah mengerjakan solat sunat tarawih. -Gambar hiasan/ Foto: Bernama

Dalam satu riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa berpuasa Ramadan dan mendirikan solat malamnya dengan penuh iman dan harapan ganjaran pahala kepada ALLAH SWT, maka akan keluar daripada Ramadan sebagaimana hari dia dilahirkan oleh ibunya.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad, An-Nasa’i dan Ibnu Majah)

Dua jihad pada Ramadan

“Sebenarnya dalam bulan Ramadan, kita didedahkan dengan dua bentuk jihad. Bukan sahaja jihad dalam berpuasa pada siang hari menahan lapar dan dahaga.

“Pada masa sama turut melalui jihad qiamullail Ramadan dengan menunaikan solat tarawih, tahajud dan witir, selain dianjurkan melakukan ibadah lain seperti iktikaf di dalam masjid,” terangnya panjang lebar.

Justeru, Panji Alam mengajak seluruh umat supaya merebut peluang sepanjang bulan penuh barakah itu dengan berpuasa dan memperbanyakkan taubat kepada ALLAH SWT daripada segala dosa.

“Setiap orang melakukan dosa sama ada besar atau kecil kecuali yang maksum (terpelihara) iaitu Rasulullah SAW.


BUKAN sahaja jihad berpuasa pada siang hari menahan lapar dan dahaga pada bulan Ramadan, tetapi juga mujahadah dalam melakukan qiamullail termasuk menunaikan solat tarawih semata-mata mengharapkan keredaan ALLAH SWT. -Foto: Canva
BUKAN sahaja jihad berpuasa pada siang hari menahan lapar dan dahaga pada bulan Ramadan, tetapi juga mujahadah dalam melakukan qiamullail termasuk menunaikan solat tarawih semata-mata mengharapkan keredaan ALLAH SWT. -Foto: Canva

“Oleh itu, tuntutan untuk bertaubat begitu digalakkan dan menepati masa khususnya dalam bulan Ramadan mulia ini, sementelah ALLAH SWT sememangnya menganjurkan supaya seseorang untuk sentiasa berbuat demikian,” ungkapnya.

Jangan tergopoh-gapah

Kepada mereka yang menunaikan tarawih secara tergopoh-gapah, pendakwah itu menitipkan pesanan bernilai buat kelompok berkenaan.

Ujar beliau, hikmah solat sebenarnya mengingatkan manusia kepada identitinya yang sebenar iaitu hamba kepada ALLAH SWT.

“Setiap insan juga dapat menggunakan sebahagian daripada masa solat mereka untuk bertaubat kepada ALLAH daripada dosa-dosa yang telah dilakukan.

“Ingatlah, solat merupakan tempat munajat kita kepada ALLAH dan berbicara dengan-NYA. Amat wajar kita sertakan dengan sebuah ketenangan lebih-lebih lagi apabila menghadap-NYA.

BAIK lapan atau 20 rakaat solat tarawih, berusahalah untuk mengikuti imam hingga selesai untuk meraih ganjaran pahala sebagaimana dinyatakan dalam hadis masyhur. -Gambar hiasan/ Foto: canva
BAIK lapan atau 20 rakaat solat tarawih, berusahalah untuk mengikuti imam hingga selesai untuk meraih ganjaran pahala sebagaimana dinyatakan dalam hadis masyhur. -Gambar hiasan/ Foto: canva

“Solat ada rohnya. Roh itu adalah khusyuk dan ia tidak mungkin singgah pada orang yang solat bersifat tergopoh-gapah.

“Ini kerana tidak wujud penumpuan dan penghayatan di sebalik rahsia atau asrar solat itu,” ungkapnya.