Dua dicekup jalankan urus niaga judi dalam talian

Pemeriksaan di sebuah premis judi dalam talian pada Rabu.
Pemeriksaan di sebuah premis judi dalam talian pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Penyamaran pegawai Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) sebagai pelanggan berjaya menumpaskan aktiviti judi dalam talian di dua premis sekitar daerah ini.

Yang Dipertua MPKB-BRI, Mohd Anis Hussein berkata, dalam operasi pertama di sebuah kedai runcit di Kampung Desa Rahmat, seorang lelaki warga Indonesia dikompaun kerana didapati menjalankan urus niaga judi dalam talian.

Menurut beliau, kedatangan pegawai MPKB yang menyamar sebagai orang awam ke kedai runcit itu pada jam 11.30 malam tidak dapat dikesan lelaki berusia 27 tahun berkenaan.

"Lelaki terbabit pada mulanya enggan menjual nombor pengenalan (ID) yang diminta dan bertanyakan beberapa soalan kerana ragu-ragu.

"Pelanggan tetap mereka biasanya mempunyai nombor kod tertentu untuk membeli ID judi di kedainya," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Sementara itu Mohd Anis berkata, dalam serbuan di sebuah premis aksesori telefon pula, seorang wanita berusia 25 tahun di Kampung Mentuan turut dikenakan tindakan kompaun.

Jelasnya, peniaga wanita yang bukan penduduk tempatan itu menjalankan aktiviti judi dalam talian dengan berselindung di sebalik perniagaan aksesori telefon.

Mohd Anis memberitahu, pihaknya tidak akan mengeluarkan sebarang lesen untuk aktiviti haram itu kerana kerajaan negeri tidak membenarkan sebarang perjudian di Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memaklumkan, melalui operasi sama, MPKB turut mengenakan kompaun ke atas sebuah premis makanan di Kampung Wakaf Stan di bawah kesalahan Seksyen 107 (2) Akta Kerajaan Tempatan kerana melanggar syarat lesen dengan memulakan perniagaan seawal 12 tengah hari ketika Ramadan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28