Lebih 2,000 ditahan terlibat sindiket judi dalam talian

Mohd Yusri dalam sidang media di IPK Perak.
Mohd Yusri dalam sidang media di IPK Perak.
A
A
A

IPOH - Seramai 2,058 individu termasuk warga asing ditahan disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian di sekitar Perak sepanjang Januari hingga Rabu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, penahanan itu melibatkan 1,731 serbuan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

"Dalam kesemua operasi khas perjudian itu, sebanyak 1,266 alat peranti berupa telefon bombit, komputer, mesin pencetak mudah alih dan wang tunai berjumlah RM295,854 berjaya dirampas.

"Di samping itu, sebanyak 1,731 kertas siasatan telah dibuka dalam usaha membanteras aktiviti perjudian di negeri ini," katanya dalam sidang akhbar di IPK Perak di sini pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, Mohd Yusri berkata, serbuan Op Dadu di sebuah rumah di Taman Bercham Makmur pada 11 November lalu berjaya mematahkan kegiatan pusat panggilan bagi perjudian dalam talian.

Menurut beliau, seramai 11 warga asing termasuk empat wanita berusia 20 hingga 45 tahun telah ditahan dalam serbuan itu.

"Mereka ditahan terdiri tiga lelaki dan seorang wanita warga tempatan, tiga lelaki dan tiga wanita warga Indonesia dan seorang lelaki warga tempatan.

"Tiga set komputer, dua router, dua buku kira-kira, 14 telefon bimbit dan riga meja kayu telah dirampas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Yusri berkata, sindiket itu didapati menyewa rumah terbabit sejak tiga bulan lalu untuk jadikan pusat mempromosi perjudian dalam talian.

"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 4(1)(g) dan 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Tujuh warga asing yang ditahan turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) dan Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/1963," katanya.