Stoking kalimah ALLAH: Individu muat naik hantaran hina Islam ditahan

Mohd Shuhaily
Mohd Shuhaily
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pemilik akaun Facebook ditahan di sekitar kawasan dekat Cheras di sini pada Rabu susulan hantaran berunsur menghina Islam melibatkan isu penjualan stoking kalimah ALLAH baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata, suspek ditahan merupakan lelaki tempatan berumur 35 tahun dan merupakan pemilik akaun Facebook Chiok Wai Loong.

"Permohonan reman dijalankan di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan suspek dibenarkan untuk direman selama empat hari bermula 21 Mac hingga 24 Mac.

"Kes disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kes masih peringkat siasatan, orang ramai digesa menjadi pengguna media sosial yang bijak.

"Sentiasa berhemah dan elakkan mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan terutamanya menyentuh 3R iaitu agama (religion), raja (royal) dan kaum (race)," katanya.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan pihak KK Mart antara beberapa individu yang akan dipanggil polis untuk siasatan berhubung isu tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, kesemua mereka dan saksi ini akan dipanggil untuk dirakam percakapan dalam masa terdekat ini.

Sabtu lalu, Pengurusan tertinggi KK Mart menyatakan kesal dengan insiden penjualan stoking yang tertera tulisan kalimah ALLAH.