'Kebakaran tahfiz Ittifaqiyah kejam, penghuni dibakar hidup-hidup'

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA – Pihak pendakwaan berhujah di Mahkamah Persekutuan di sini pada Khamis bahawa peristiwa di tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, merupakan kejadian yang sangat kejam kerana kebakaran itu menyebabkan sebahagian daripada 23 penghuninya dibakar hidup-hidup.

Timbalan Pendakwa Raya, How Mei Ling berkata demikian ketika prosiding rayuan akhir seorang pemuda berusia 23 tahun, untuk mengetepikan sabitan dan perintah hukuman atas kesalahan membunuh penghuni tahfiz itu, tujuh tahun lalu.

Menurutnya, kejadian berkenaan turut menyayat hati kerana mayat ditemui dalam keadaan rentung sehingga menyukarkan proses pengecaman yang mana akhirnya ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terpaksa dilakukan.

“Mayat mangsa juga ditemui dalam keadaan mengerekot kerana mereka tidak boleh keluar dan hanya menunggu untuk diselamatkan.

“Ketika pihak bomba tiba untuk memadamkan kebakaran, tiada lagi bunyi teriakan meminta tolong, sebaliknya suasana sepi yang menyeramkan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, saksi pendakwaan ke-68 (saksi kanak-kanak terlindung) dan ke-69 (seorang lelaki) merupakan saksi yang menyaksikan perayu melompat pagar bangunan berkenaan berserta bukti yang jelas.

Bukan itu sahaja, beliau berkata, saksi ke-68 yang ketika kejadian berusia 12 tahun, yakin telah melihat perayu bersama seorang individu lain sebelum kejadian kebakaran berlaku.

“Dia berada kurang empat meter daripada perayu ketika berdiri di bangunan PPIM (Persatuan Pengguna Islam Malaysia), iaitu bangunan sebelah tahfiz yang terbakar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, peguam, Haijan Omar yang mewakili remaja itu menghujahkan, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tidak menunjukkan anak guamnya membawa botol mineral berisi petrol untuk membakar tahfiz berkenaan.

Bukan itu sahaja, beliau berkata, ketika berbual di kedai makan berdekatan tempat kejadian, semua saksi mengesahkan tiada perbualan untuk membakar tahfiz dibuat.

“Mereka hanya berbual untuk main snuker dan tiada niat untuk membakar, kecuali timbul perkataan ‘belilah petrol’ daripada seorang individu yang tidak dapat dikenal pasti.

“Seorang saksi pakar forensik juga menyatakan kebakaran mula berlaku pada jam 5.25 pagi sedangkan rakaman CCTV menunjukkan anak guam saya telah beredar daripada kawasan itu pada jam 4.48 atau 4.49 pagi,” katanya.

Dalam kejadian 14 September 2017, seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz yang marak dijilat api.

Pada 11 September tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara terhadap pemuda itu selepas tiga panel hakim mendapati, tiada sebab untuk mengusik keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendapati dia bersalah atas 23 pertuduhan berkenaan.

Sementara, seorang lagi rakannya yang juga berusia 22 tahun, kekal dilepas dan dibebaskan atas tuduhan sama.

Mengikut pertuduhan, dua pemuda (ketika kejadian berusia 16 tahun), didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, antara jam 4.15 hingga 6.45 pagi, 14 September 2017.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati.

Pada 28 Januari 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azman Abdullah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memerintahkan pemuda pertama itu membela diri.

Sebaliknya, mahkamah melepas dan membebaskan pemuda kedua tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan sama.

Pada 17 Ogos 2020, hakim sama mendapati pemuda pertama bersalah dan mengenakan hukuman penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong kerana dia merupakan pesalah kanak-kanak.

Mahkamah tinggi mengguna pakai Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang mana seksyen itu menyatakan hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah 18 tahun, namun pesalah boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh masa berkenaan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28