Pemuda bunuh 23 penghuni tahfiz Ittifaqiyah kekal dipenjara

Mengikut pertuduhan, dua pemuda (ketika kejadian berusia 16 tahun), didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, antara jam 4.15 hingga 6.45 pagi, 14 September 2017.
Mengikut pertuduhan, dua pemuda (ketika kejadian berusia 16 tahun), didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, antara jam 4.15 hingga 6.45 pagi, 14 September 2017.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kematian menyayat hati 23 penghuni Darul Quran Ittifaqiyah dalam kebakaran tujuh tahun lalu, akhirnya terbela apabila Mahkamah Persekutuan di sini pada Khamis, mengekalkan hukuman dan sabitan terhadap seorang pemuda atas kesalahan membunuh.

Susulan itu, pemuda berusia 23 tahun berkenaan selaku perayu akan ditahan dipenjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, selepas menolak rayuan akhir perayu itu.

Ketika membaca keputusan penghakimannya, Tengku Maimun berkata, keterangan yang diberi kepada mahkamah terhadap perayu adalah mencukupi.

Beliau yang bersidang bersama Hakim, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Nordin Hassan berkata, tiada alasan yang kukuh untuk mengganggu keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi sebelum ini.

“Isu yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan ialah keterangan ikut keadaan tidak cukup kukuh serta notis alibi yang dibangkitkan oleh perayu telah menimbulkan keraguan munasabah pada kes pendakwaan.

“Undang-undang adalah jelas bahawa apabila tidak dinyatakan motif kejadian, maka pembelaan alibi tidak boleh diguna pakai dalam kes ini,” katanya.

Tengku Maimun berkata, mahkamah berpuas hati bahawa hakim bicara telah mencapai dapatan terhadap kredibiliti saksi-saksi terutamanya saksi pendakwaan ke-68 dan 69.

Artikel Berkaitan:

Katanya, hakim bicara turut mencapai dapatan bahawa keterangan ikut keadaan itu adalah mencukupi untuk mensabitkan tertuduh.

“Pada keseluruhan kes, kami mendapati bahawa sabitan adalah selamat, maka rayuan ini ditolak.

“Keputusan Mahkamah Tinggi yang disahkan oleh Mahkamah Rayuan, dikekalkan,” katanya.

Semasa prosiding, perayu diwakili peguam, Haijan Omar manakala pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling.

Dalam kejadian 14 September 2017, seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz yang marak dijilat api.

Pada 11 September tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara terhadap pemuda itu selepas tiga panel hakim mendapati tiada sebab untuk mengusik keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendapati dia bersalah atas 23 pertuduhan berkenaan.

Sementara, seorang lagi rakannya yang juga berusia 22 tahun, kekal dilepas dan dibebaskan atas tuduhan sama.

Mengikut pertuduhan, dua pemuda (ketika kejadian berusia 16 tahun), didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, antara jam 4.15 hingga 6.45 pagi, 14 September 2017.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati.

Pada 28 Januari 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azman Abdullah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memerintahkan pemuda pertama itu membela diri.

Sebaliknya, mahkamah melepas dan membebaskan pemuda kedua tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan sama.

Pada 17 Ogos 2020, hakim sama mendapati pemuda pertama bersalah dan mengenakan hukuman penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong kerana dia merupakan pesalah kanak-kanak.

Mahkamah Tinggi mengguna pakai Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang mana seksyen itu menyatakan hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah 18 tahun, namun pesalah boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh masa berkenaan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28