KRPPM-IGAR setuju reformasi institusi dilakukan berperingkat

Syed Ibrahim (tengah) ketika sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Khamis.
Syed Ibrahim (tengah) ketika sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) - Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) bersetuju lapan tuntutan yang dikemukakan sebelum ini dilaksanakan secara berfasa.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, fasa pertama memberi tumpuan kepada empat cadangan melibatkan pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya, pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2009, reformasi Parlimen melalui Akta Perkhidmatan Parlimen dan penggubalan Akta Kebebasan Maklumat.

“Setelah beberapa siri mesyuarat, libat urus dan meneliti kewajaran, kesegeraan, keutamaan dan kepentingan reformasi institusi secara khususnya bagi pengawalan ketirisan, konflik kepentingan, pengukuhan ketelusan terhadap integriti, tatakelola dan agenda anti rasuah, maka kami bersetuju agar tuntutan dilaksanakan secara berperingkat.

“Kita perlu bersikap bijaksana supaya tidak semua perkara diletakkan dalam satu bakul, kemudian akan timbul masalah untuk meyakinkan ahli Parlimen bagi menyokong perundangan ini.

“Jadi saya serahkan kepada kerajaan, tetapi kita anggap empat tuntutan yang difokuskan itu boleh berlaku dalam penggal ini.

“Akta Perkhidmatan Parlimen mungkin boleh berkuat kuasa awal, manakala yang lain boleh dilaksanakan dalam tahun ini, tetapi secara keseluruhannya berlaku dalam penggal ini," katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Khamis.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dilapor memaklumkan, pindaan Perlembagaan bagi mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen sudah 90 peratus siap dan menunggu masa untuk dibentangkan di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, kerajaan secara prinsip bersetuju terhadap langkah reformasi berkenaan selaras dengan matlamat untuk memartabatkan doktrin pengasingan kuasa antara badan perundangan dan eksekutif.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Syed Ibrahim berkata, pihaknya turut menggesa kerajaan mempercepatkan gerak kerja sistem perundangan supaya tidak memberi implikasi buruk pada pandangan masyarakat.

Ini kerana ujarnya, ia boleh menyebabkan defisit kepercayaan dalam kalangan rakyat, malah lebih parah memberi kesan terhadap sistem keadilan.

“Kita percaya walaupun pelbagai cabaran terpaksa didepani kerajaan ketika melaksanakan pengasingan kuasa, namun gerak kerja mesti dipercepatkan supaya sistem perundangan tidak dibayangi persepsi negatif,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28