Sultan Kedah harap graduan terajui program anti-rasuah, berintegriti

Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
A
A
A

SINTOK - Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berharap graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) boleh menerajui program-program anti-rasuah untuk membantu sesebuah organisasi, terutamanya dalam konteks tadbir urus yang baik dan berintegriti di negara ini.

Baginda yang juga Tuanku Canselor UUM bertitah, perkara tersebut boleh dilakukan melalui penilaian dan pengurusan risiko berkaitan rasuah di dalam sesebuah organisasi.

"Ia bermula dengan mengenal pasti punca masalah berlakunya rasuah, dan kemudian mengambil langkah-langkah untuk mengatasi, punca masalah berkenaan berlaku.

"Ini termasuk melaksanakan latihan etika, memperkukuhkan prosedur pemantauan dan pelaporan, dan seterusnya mewujudkan proses pemantauan risiko.

"Selain itu, para graduan UUM boleh membantu sesebuah organisasi dan majikan, dengan mewujudkan Dokumen Pelan Anti-Rasuah Organisasi. Dokumen ini yang merangkumi pelbagai usaha organisasi, untuk mengatasi masalah rasuah yang berlaku," titah baginda pada Majlis Konvokesyen Ke-36 UUM pada Ahad.

Sultan Sallehuddin berkenan mengisytiharkan sesi pertama dan mengurniakan ijazah pada majlis konvokesyen ini.

Tuanku bertitah, jatuh bangun sesebuah institusi, syarikat, organisasi, pemimpin, atau seseorang individu, adalah bergantung kepada integriti yang dimiliki olehnya.

"Tadbir urus yang cekap adalah landasan kepada kejayaan sesebuah institusi atau organisasi. Ini melibatkan pengurusan sumber dengan bijak, memaksimumkan hasil, dan mengurangkan pembaziran.

Artikel Berkaitan:

"Integriti adalah nilai asas yang harus dihayati oleh setiap individu. Integriti tidak hanya bermaksud, tidak melakukan perkara yang salah, tetapi juga bermaksud berlaku jujur, adil dan bertanggungjawab, dalam semua tindakan yang dilakukan.

"Ini adalah nilai-nilai yang harus diamalkan,dan dihayati dalam setiap aspek kehidupan kita. Isu berkaitan tadbir urus dan integriti, adalah penting dalam konteks pembangunan negara," titah baginda.

Tambah Sultan Kedah, graduan UUM turut disarankan memanfaatkan, keupayaan teknologi 'Artificial Intelligence' (AI) agar dapat membantu meningkatkan integriti, dan tadbir urus yang baik dalam sesebuah organisasi.

"AI boleh digunakan untuk menganalisa 'real time data', dan dapat mengesan aktiviti yang mencurigakan. Ini membantu organisasi tersebut, mengenal-pasti isu integriti, dan rasuah dengan lebih cepat, dan efisien," titah Tuanku lagi.

Seramai 5,738 graduan akan menerima ijazah masing-masing melibatkan sembilan sesi di Majlis Konvokesyen Ke-36 UUM yang bermula Ahad sehingga Khamis di Dewan Mu’adzam Shah, di sini.

Daripada keseluruhan 5,738 graduan tersebut, seramai 4,333 (75.52%) adalah terdiri daripada graduan sarjana muda, manakala 1,387 (24.17%) merupakan graduan pascasiswazah terdiri daripada graduan Doktor Falsafah, Doktor Pengurusan, Doktor Pentadbiran Perniagaan, Ijazah Sarjana dan Diploma Pascasiswazah serta 18 graduan (0.31%) Diploma Eksekutif.