X

Kindly register in order to view this article
!

Keajaiban air zamzam

A
A

TUBUH kita dan setiap sistem dalam tubuh kita memerlukan air. Air mengawal suhu badan, membawa nutrien dan oksigen, menyahkan bahan buangan, menolong menyahkan toksik daripada buah pinggang dan hati serta melarutkan vitamin dan mineral.

Bahkan, badan kita terdiri daripada 70 peratus air dan jika air ini bersih, sel badan seharusnya menjadi lebih segar dan kuat.

Air bersih boleh merangsang sistem pertahanan badan, metabolisme sel dan mengurangkan risiko sel menjadi tidak normal, mencegah bahan toksik daripada merebak ke sel lain dan mengurangkan risiko terhadap jangkitan.

Manusia boleh bertahan tanpa makanan selama lapan minggu tetapi tanpa air, manusia mampu bertahan selama tujuh hari sahaja.

Terdapat sejenis air yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Ia boleh diminum terus dari telaga tanpa perlu melalui proses osmosis berbalik, penyulingan, rawatan klorin dan bahan kimia yang lain. Air itu ialah air zamzam, sebagaimana yang diceritakan dalam kitab Taurat, Injil dan al-Quran.

Sejak penemuannya, air dari telaga yang dikelilingi padang pasir di Makkah itu tidak pernah luak dan terus dinikmati oleh berjuta-juta umat Islam yang menunaikan haji dan umrah saban tahun.

Selain untuk diminum jemaah di Tanah Suci, air zamzam turut dibotolkan sebanyak 200,000 botol bersaiz 10 liter setiap hari bagi membolehkan jemaah haji dan umrah membawanya pulang.

Setiap jemaah perlu mengemukakan passport di kaunter pembelian untuk direkodkan kerana pembelian dihadkan kepada 20 liter setiap 15 hari.

Apa yang ajaibnya air zamzam ini? Saintis Jepun telah membuat kajian terhadap air zamzam dan mereka mengakui air biasa tidak dapat menandingi air zamzam walaupun cuba diolah menggunakan pelbagai teknologi canggih bagi menghasilkan air alkali yang setara khasiatnya.

Antara keajaiban air zamzam adalah kebolehannya bertindak balas berdasarkan niat atau doa ketika meminumnya.

Banyak cerita dan testimoni yang menyebut tentang manfaat air zamzam dalam menyembuhkan penyakit kronik. Ibnul Qayyim berkata: “Selain saya mencuba untuk berubat dengan air zamzam untuk pelbagai penyakit, akhirnya saya mendapati keajaiban yang luar biasa dan saya mendapatkan kesembuhan dengan izin ALLAH.” [Kitab Zādul Ma’ād 4/393].

Sahabat sekolah saya, Hirwan Hatta pernah dikejutkan dengan berita beliau disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat pada 2008.

Selepas menjalani sebanyak 16 sesi kemoterapi, ujian imbasan PET (PET scan) menunjukkan masih ada kanser di beberapa bahagian badannya walaupun sudah banyak berkurang. Laporan ujian tersebut betul-betul mematahkan semangat Hirwan ketika itu.

Pada April 2010, Hirwan telah mengerjakan umrah bagi melupakan seketika masalah kanser yang dihidapinya. Hirwan berasakan satu ketenangan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata ketika di Makkah.

Apabila sujud di hadapan Kaabah, Hirwan memahami erti sebenar berserah dan reda pada ketentuan Ilahi.

Beliau benar-benar dapat menghayati makna ayat kelima dalam surah al-Fatihah yang bermaksud: “Hanya kepada-Mu kami sembah dan hanya kepada-Mu kami meminta pertolongan.”

Sepanjang berada di Makkah dan Madinah, selain menggunakan setiap ruang waktu untuk beribadat, Hirwan juga tidak putus-putus meminum air zamzam. Setiap kali meminumnya, beliau berasa lebih bertenaga.

>> Bersambung minggu depan

*Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan