KPDN jawab barangan bersubsidi turut dinikmati warga asing

Jualan petrol RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing adalah tidak dibenarkan dan larangannya terpakai di seluruh negara. Foto hiasan
Jualan petrol RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing adalah tidak dibenarkan dan larangannya terpakai di seluruh negara. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan sedang memperkemas mekanisme penyasaran semula subsidi diesel dan petrol RON95 agar boleh dimanfaatkan oleh warganegara dan rakyat tempatan yang berkelayakan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, jualan petrol RON95 kepada kenderaan dengan nombor pendaftaran asing adalah tidak dibenarkan dan larangannya terpakai di seluruh negara.

Menurutnya, kenderaan asing hanya boleh mengisi RON97 di stesen minyak.

“Bagaimanapun, bagi diesel bersubsidi, kenderaan asing hanya boleh mengisi tidak lebih daripada 20 liter bagi stesen minyak dalam jarak 50 kilometer (km) dari sempadan Singapura dan Thailand serta 30km dari jarak sempadan Indonesia dan Brunei.

“Di Perlis melainkan stesen minyak komersil, jualan diesel bersubsidi kepada kenderaan asing adalah dilarang. Walau bagaimanapun, jualan kepada kenderaan tempatan turut dipantau dan dikuat kuasa bagi memastikan tidak berlaku aktiviti penyelewengan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Selasa.

Ia menjawab pertanyaan lisan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) mengenai tempoh barangan bersubsidi seperti gula, tepung, minyak petrol dan sebagainya yang diberikan oleh kerajaan dapat dinikmati oleh warga asing kerana tujuan asal pemberian untuk meringankan beban rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, KPDN turut menjelaskan bahawa pembayaran subsidi gula putih bertapis secara langsung kepada syarikat-syarikat pengilang telah diberhentikan sejak penghujung tahun 2013.

Foto hiasan
Foto hiasan

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, gula putih bertapis hanya dikawal melalui pewartaan harga kawalan untuk jualan di pasaran.

“Bagi subsidi tepung gandum kegunaan am pula, tiada tuntutan subsidi dibuat oleh syarikat-syarikat pengeluar bermula bulan Jun 2022.

“Ini adalah kerana syarikat-syarikat terbabit telah menarik diri akibat tidak mampu menampung kos pengeluaran terutamanya dengan peningkatan harga gandum dunia,” kata kenyataan itu.