Dakwaan warga asing dominasi bekalan sayur di Pulau Pinang tak benar - Exco

Kerajaan Pulau Pinang akan menyiasat aduan berhubung pendatang asing mengusahakan kebun sayur secara haram. Foto hiasan
Kerajaan Pulau Pinang akan menyiasat aduan berhubung pendatang asing mengusahakan kebun sayur secara haram. Foto hiasan
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang akan menyiasat aduan berhubung pendatang asing mengusahakan kebun sayur secara haram dan memastikan tiada tanah kerajaan yang disewakan kepada petani tempatan diserahkan kepada warga asing.

Exco Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan, Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol berkata, berdasarkan data keluasan bertanam oleh Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang, terdapat 641 petani berdaftar di negeri ini yang mengusahakan pelbagai sayuran dan tanaman.

Fahmi berkata, daripada jumlah itu, 163 petani adalah di Seberang Perai Utara, 165 (Seberang Perai Tengah), 153 (Seberang Perai Selatan), 128 (Barat Daya) dan 32 (Timur Laut).

Beliau menjelaskan keluasan bertanam itu melibatkan 704 hektar keluasan tanah sekali gus menyangkal dakwaan kononnya warga asing menguasai hampir 80 peratus rantaian perbekalan sayuran di negeri ini sejak lima tahun lepas.

"Dakwaan sekiranya 80 peratus daripada keluasan kawasan itu dikuasai warga asing dengan menjalankan projek haram ia sama sekali tidak benar kerana jumlah itu melibatkan 563 hektar daripada keluasan sebenar (704 hektar)," katanya ketika dihubungi Bernama.

Fahmi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan media pada Khamis lepas, bahawa pendatang asing yang mengusahakan kebun sayur secara haram di Pulau Pinang didakwa menguasai hampir 80 peratus rantaian perbekalan sayuran di negeri berkenaan sejak lima tahun lepas dan menjejaskan 30 peratus pengusaha kebun tempatan sehingga terpaksa gulung tikar.

Bagi membantu petani tempatan, Fahmi berkata, Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang telah mengambil pelbagai inisiatif termasuk pemberian insentif input pertanian, mesin dan jentera kecil, dron, sistem pengairan dan lain-lain peralatan atau mesin bagi memudahkan petani melaksanakan aktiviti pertanian selain khidmat nasihat.

Beliau berkata, pemantauan dan penguatkuasaan oleh pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga membantu dari segi kawalan harga pasaran dan ia akan diperkuatkan lagi.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Fahmi berharap KPDN dan FAMA dapat membantu kerajaan negeri memantau harga pasaran produk hasil pertanian di Pulau Pinang bagi mengawal penglibatan warga asing dalam pembekalan sayur di Pulau Mutiara. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28