SK Cyberjaya (2) dijangka siap 2028 tangani isu kepadatan murid

Dr Wan Noor Azhar Wan Sulaiman
Dr Wan Noor Azhar Wan Sulaiman
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya (2) dijangka siap pada 2028 bagi menangani isu kepadatan murid seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian, Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan KPM, Dr Wan Noor Azhar Wan Sulaiman berkata, permohonan pembinaan baharu sekolah berkenaan telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) RP3 (tahun 2023).

"Status terkini projek ini berada dalam proses perolehan. Sekolah baharu ini bakal dilengkapi dengan 36 bilik darjah dan kemudahan-kemudahan lain mengikut konsep reka serta bina bagi mempercepatkan proses pembinaan," katanya dalam Wacana edisi 434 bertajuk 'Dah 2024, masih isu kelas padat?' pada Rabu.


Tangkap layar menunjukkan keadaan murid Tahun Satu yang ramai di SK Cyberjaya.
Tangkap layar menunjukkan keadaan murid Tahun Satu yang ramai di SK Cyberjaya.

Sebelum ini, media melaporkan Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya mempunyai 13 kelas untuk murid Tahun Satu dengan menempatkan seramai 50 orang setiap bilik darjah.

Perkara itu mendapat perhatian pakar pendidikan yang menyuarakan kebimbangan jika masalah murid padat di negara ini tidak diatasi segera, ia akan menyebabkan kualiti, motivasi serta tumpuan murid untuk belajar terus merosot manakala guru hilang fokus.

Program yang dihoskan oleh Ismail Adnan itu turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad dan pesara guru, Dr Murni Hussin yang disiarkan secara langsung di semua platform media sosial Sinar Harian.

Tambah Dr Wan Noor Azhar, KPM turut mengambil langkah-langkah proaktif bagi mengatasi isu kepadatan di sekolah berkenaan seperti penyuraian murid Tahun Satu ke enam buah sekolah yang berdekatan seperti; SK Taman Putra Perdana, SK Taman Putra Perdana 2, SK Dengkil, SK Desa Pinggiran Putra, SK Bandar Baru Salak Tinggi dan SK Kota Warisan.

Artikel Berkaitan:

Program yang dihoskan oleh Ismail Adnan itu turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan UKM, Dr Anuar Ahmad dan pesara guru, Dr Murni Hussin (kanan).
Program yang dihoskan oleh Ismail Adnan itu turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan UKM, Dr Anuar Ahmad dan pesara guru, Dr Murni Hussin (kanan).

Jelas beliau, KPM turut membina kabin yang mengandungi 12 buah bilik darjah tambahan bagi menampung kepadatan di SK Cyberjaya.

"Langkah penyuraian murid di SK Cyberjaya merupakan langkah yang memang telah diambil saban tahun sejak tahun 2021 lagi.

"Sukacita saya maklumkan kepada masyarakat bahawa isu kepadatan adalah kerana sekolah ini merupakan pilihan ibu bapa seperti di SK Cyberjaya," katanya.

Ujarnya lagi, berdasarkan maklumat dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, terdapat segelintir ibu bapa yang mendesak agar anak-anak mereka ditempatkan di sekolah tersebut biarpun tiada kekosongan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28