Cadang sewa bangunan tangani kepadatan murid SK Cyberjaya

Aiman Athirah ketikaditemui pemberita pada program Kasih Ramadan Tanpa Pembaziran anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di Bazar Ramadan Kosmopleks, Bandar Baru Salak Tinggi di sini pada Ahad.
Aiman Athirah ketikaditemui pemberita pada program Kasih Ramadan Tanpa Pembaziran anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di Bazar Ramadan Kosmopleks, Bandar Baru Salak Tinggi di sini pada Ahad.
A
A
A

SEPANG - Menyewa bangunan baharu untuk dijadikan kelas sementara antara tiga cadangan dikemukakan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sepang bagi menangani isu kepadatan murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya.

Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, dua lagi syor dikemukakan ialah penyuraian pelajar ke beberapa sekolah berhampiran dan menyediakan kelas tambahan dalam bentuk kabin.

Menurutnya, kesemua cadangan bersifat penyelesaian jangka pendek itu dibuat sementara menunggu SK 2 Cyberjaya yang dijangka siap menjelang 2028.

"Saya punya kecenderungan ialah lebih kepada menyewa bangunan untuk dijadikan kelas sementara dan bangunan itu pun telah kita kenal pasti.

"Bagaimanapun prosesnya masih perlu dibincangkan bersama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) kerana ia akan mengambil kos yang agak tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada program Kasih Ramadan Tanpa Pembaziran anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di Bazar Ramadan Kosmopleks, Bandar Baru Salak Tinggi di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Aiman Athirah yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata, kesemua cadangan atau pilihan yang dikemukakan juga mengambil kira pelbagai faktor antaranya kesesuaian dan keselamatan pelajar.

Beliau dalam masa sama yakin isu sekolah padat itu akan mendapat perhatian serius Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Artikel Berkaitan:

"Saya yakin isu berkenaan dapat ditangani di bawah dua pimpinan negara yang sangat cakna kepada kesejahteraan dan kebajikan murid," katanya.

Sebelum ini, laman Facebook komuniti setempat memaparkan situasi kepadatan murid Tahun 1 SK Cyberjaya yang kemudiannya mengundang pelbagai reaksi ibu bapa dan warganet.

Difahamkan, jumlah keseluruhan kelas yang dibuka kepada murid sekolah itu adalah 13 kelas.