Kepadatan penduduk tinggi faktor pendaftaran PADU di Selangor rendah

Amirudin ditemui pemberita pada Majlis Menandatangani MoU Yayasan Hijrah Selangor (YHS) dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di Bangunan SSAAS pada Rabu.
Amirudin ditemui pemberita pada Majlis Menandatangani MoU Yayasan Hijrah Selangor (YHS) dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di Bangunan SSAAS pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kepadatan penduduk yang tinggi merupakan antara faktor menyumbang kepada kadar pendaftaran dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang kurang menggalakkan di Selangor.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, walaupun kadar peratusan rendah namun nilai nisbah daripada jumlah penduduk yang mendaftar adalah tinggi.

"Jika lihat jumlah bersih tanpa ikut peratusan saya yakin jumlah yang mendaftar masih tinggi. Cuma disebabkan jumlah penduduk Selangor tinggi, jadi kita perlu masa (perluas pendaftaran ke komuniti)," katanya pada Rabu.

Beliau ditemui pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Yayasan Hijrah Selangor (YHS) dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di Bangunan SSAAS pada Rabu.

Amirudin berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bahawa Selangor bakal menjadi negeri mempunyai isu keciciran bantuan subsidi bersasar tertinggi susulan ramai penduduk di negeri itu tidak mendaftar PADU.

Rafizi berkata, jumlah tersebut berdasarkan 4,752 kawasan yang belum diliputi dalam sistem PADU sejak ia dilancarkan pada 2 Januari lalu.

Amirudin berkata, masalah tersebut turut didorong isu lantikan ketua kampung yang belum selesai.

"Jumlah pendaftaran PADU mampu ditingkatkan selepas isu lantikan ketua kampung selesai. Mereka akan memudahkan pendaftaran penduduk kampung atau komuniti dengan PADU," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjelaskan, kerajaan negeri telah mengambil inisiatif membuka kaunter bagi setiap program dan akan melihat keperluan menambah baik strategi untuk tingkatkan lagi jumlah pendaftaran.

"Kerajaan telah perbanyakkan dalam program di Dewan Undangan Negeri (DUN), tapi tidak cukup capaian dan perlu diperbesarkan lagi.

"Kita perlu galakkan pendaftaran secara sukarela, dan langkah melantik wakil yang boleh datang dari rumah ke rumah bagi buat pendaftaran," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28