WUIF, PPJ kerjasama promosi #World Quran Hour 2024

Mohd Shamsul Hakim (kanan) menyampaikan taddabur Surah Al-Jumu'ah pada sesi perkongsian menuju WQH 2024 di Dataran Putrajaya pada Selasa.
Mohd Shamsul Hakim (kanan) menyampaikan taddabur Surah Al-Jumu'ah pada sesi perkongsian menuju WQH 2024 di Dataran Putrajaya pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) bekerjasama dengan Perbadanan Putrajaya (PPJ) bagi mempromosikan #World Quran Hour (WQH) 2024 dengan menganjurkan sesi perkongsian Surah Al-Jumu’ah kepada orang ramai.

Program yang dianjurkan di Dataran Putrajaya itu berkonsepkan tadabbur serta berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal dimulakan dengan bacaan surah tersebut dibimbing qari, Halim Zainudin.

Sesi tadabbur pula disampaikan oleh Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohd Shamsul Hakim Abd Samad.

Penolong Pengarah Perlesenan, Jabatan Perkhidmatan Bandar PPJ, Muhammad Shukri Shafie berkata, penganjuran program ini merupakan antara inisiatif pihaknya dalam usaha menyokong WQH yang dianjurkan setiap tahun.

Muhammad Shukri
Muhammad Shukri

"Sepanjang Ramadan, Dataran Putrajaya menjadi tumpuan orang ramai untuk berbuka puasa bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.

"Oleh itu kami mengambil peluang untuk memberi pengisian kerohanian sejam sebelum waktu berbuka menerusi taddabur Surah Al-Jumu'ah yang turut dipancarkan di skrin besar di dataran ini.

"Secara tidak langsung aktiviti ini mempromosikan 'road to WQH 2024' di samping menjadi medan ilmu kepada orang ramai yang hadir untuk mendengar perkongsian daripada penceramah jemputan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu menurut Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff, WQH tahun ini membawakan perkongsian Surah Al-Jumu'ah bertajuk 'Reset Diri, Reset Kehidupan'.

Program yang dijadualkan berlangsung pada 4 April depan di Masjid Negara, Kuala Lumpur itu akan dipancarkan secara langsung menerusi saluran Astro Oasis serta laman Facebook Sinar Harian dan WUIF.

Bagi mereka yang berminat untuk menyertai World #QuranHour 2024 boleh mendaftar di https://bit.ly/REGISTERWQH1445H.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!