Tempoh lulus lesen pusat hiburan, kilang dan tadika dipendekkan 14 hari

Kor Ming. Foto Bernama
Kor Ming. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Proses dokumentasi, penilaian teknikal dan tempoh kelulusan Lesen Berisiko dipendekkan kepada maksimum 14 hari bekerja berbanding 32 hari sebelum ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kelulusan berkenaan merangkumi lesen pusat hiburan, kilang dan tadika.

"Inisiatif ini mengurangkan bilangan dokumen yang diperlukan kepada empat jenis sahaja dengan menyisihkan dokumentasi secara manual, manakala surat-menyurat melibatkan ulasan serta penilaian teknikal semasa atau selepas lawatan tapak dilakukan secara dalam talian.

“Kementerian kini bergerak ke arah mentransformasikan pengurusan hal ehwal pelesenan oleh Bahagian Pelesenan PBT (pihak berkuasa tempatan) serta jabatan atau agensi teknikal untuk memastikan ketelusan dan integriti dalam pengurusan permohonan lesen.

“Selain itu, ia bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan kerajaan,"katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Kor Ming menjelaskan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama PBT telah melaksanakan pelbagai inisiatif antaranya memendekkan tempoh kelulusan permit perniagaan kecil kepada 24 jam dan memberikan kelonggaran kepada syarat sedia ada sekiranya perlu.

Selain itu katanya, inisiatif berkenaan termasuk memanjangkan tempoh waktu berniaga, bilangan hari berniaga, menambah petak penjaja, menguatkuasakan pengeluaran serta pemantauan lesen dan permit perniagaan kepada warganegara Malaysia sahaja.

“Mulai tahun 2024, KPKT memperkenalkan garis panduan OSC Pelesenan PBT bagi seragamkan proses, dokumentasi, prosedur permohonan serta kelulusan lesen di peringkat PBT.

Artikel Berkaitan:

"Garis panduan yang disediakan bersama Sistem OSC Pelesenan PBT ini akan menyeragamkan dokumentasi dan tempoh kelulusan PBT bagi Lesen Tidak Berisiko seperti lesen perniagaan kedai runcit, penjaja dan pejabat dalam tempoh tidak lebih daripada 24 jam, " jelasnya.

Menurut Kor Ming, garis panduan dan OSC pelesenan diwujudkan berlandaskan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang akan diguna pakai oleh semua PBT di Semenanjung Malaysia sebelum diperluaskan ke Sabah dan Sarawak.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28