MOT tidak terima inisiatif dana hasil jualan nombor plat

Anthony Loke. Foto Bernama
Anthony Loke. Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan tidak menerima inisiatif dana daripada hasil penjualan nombor pendaftaran kenderaan, sebaliknya kesemua hasil kutipan jualan itu disalurkan kepada Kumpulan Wang Disatukan.

Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata, jumlah kutipan keseluruhan dari jualan nombor pendaftaran kenderaan bagi tahun 2023 ialah RM311.8 juta, termasuk penjualan nombor pendaftaran istimewa (NPI) berjumlah RM21 juta.

Penjualan NPI bermula pada 2019, manakala tawaran bidaan melalui NPI bermula pada tahun 2023 dengan nombor siri M_M.

"Walau bagaimanapun, bagi tahun 2024 seperti yang telah diumumkan Perdana Menteri semasa pembentangan Belanjawan 2024, sebahagian penjualan NPI akan disalurkan kepada golongan kurang berkemampuan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) yang ingin tahu kutipan hasil daripada tawaran bidaan NPI dan perincian inisiatif yang telah dilaksanakan kementerian, dengan menggunakan hasil kutipan NPI sejak tahun 2018 sehingga 2023.

Anthony Loke berkata, menerusi sebahagian penjualan NPI itu, kerajaan bersetuju untuk terus menanggung bayaran ujian memandu bagi lesen motosikal kelas B2, e-hailing dan teksi, yang memberi manfaat kepada lebih 40,000 belia daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 100,000 topi keledar termasuk topi keledar kanak-kanak dapat dibekalkan dan diagih secara percuma kepada keluarga kurang mampu.

"Ikhtiar FLYsiswa akan diteruskan untuk manfaat hampir 60,000 pelajar daripada keluarga kurang mampu terutama di Sabah, Sarawak dan Labuan, serta inisiatif pembiayaan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) kepada hampir 50,000 pemandu teksi, kereta sewa dan pemandu bas sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, Anthony Loke, turut memaklumkan kementerian baru-baru ini telah memperkenalkan NPI untuk siri GOLD, dengan jumlah kutipan bagi siri itu setakat ini berjumlah RM17 juta.
Artikel Berkaitan:


"Seperti Yang Berhormat telah maklum, nombor siri GOLD1 telah dibida oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nilai RM1.5 juta, menyumbang kepada hasil kerajaan. Separuh daripada hasil tersebut dikembalikan kepada Kementerian Pengangkutan bagi tujuan pelaksanaan inisiatif seperti yang dinyatakan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai isu penipuan melibatkan penjualan nombor pendaftaran kenderaan di media sosial, beliau mengingatkan orang ramai supaya hanya membida nombor pendaftaran kenderaan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan tidak membeli dari pihak ketiga, terutamanya di laman media sosial bagi mengelakkan kes penipuan.

"Kalau nak bida, bida melalui JPJ e-bid sistem yang dilaksanakan oleh kerajaan, bukan melalui pihak ketiga. Jadi kesedaran itu sangat penting, sebab kita nak supaya hasil itu masuk dalam hasil kerajaan untuk kita gunakan bagi membantu rakyat, lebih banyak inisiatif (dilaksanakan),” katanya. - Bernama